Sahabat Maktab platform tabur bakti, tambah amal

Iklan
Syed Saleh (kanan) beramah mesra bersama 35 jemaah haji yang terpilih menjadi Sahabat Maktab di Hotel Al Fajer Al Badya 2.

MAKKAH - Inisiatif Tabung Haji (TH) mewujudkan Sahabat Maktab sejak 2006, menjadi antara platform terbaik untuk jemaah haji menabur bakti dalam menyantuni rakan jemaah lain sekali gus memberi peluang untuk menambahkan amal ketika berada di Tanah Suci.

Bagi Dr. Nazil Nuhairi Ismail, 47, pengalaman selama 23 tahun dalam bidang perubatan tidak ditinggalkan begitu sahaja di tanah air sebaik bergelar 'Duyufurrahman', sebaiknya dimanfaatkan sepenuhnya membantu jemaah-jemaah kurang sihat yang sama maktab dengannya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau bersama isteri Wan Nor Hasnita Wan Daud, 45 mula memohon untuk menjadi Sahabat Maktab ketika tiba di Tanah Suci pada 18 Mei lalu.

"Malah kalau tengok dalam sirah pun ada kaum yang kerjanya menyantuni jemaah haji pada ketika itu. Ada yang bawa minuman dan ada juga yang jaga kebajikan. Justeru ia juga satu ibadah besar. Apatah lagi apabila berkait rapat dengan kesihatan, maka lagilah besar," katanya ketika ditemui, semalam.

Iklan
Dr Nazli bersama Wan Nor Hasnita ketika ditemui petugas media.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Sahabat Maktab dan penyerahan 'vest' serta topi kepada Sahabat Maktab oleh Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Pasangan ini adalah antara 315 orang Sahabat Maktab yang mewakili sembilan buah maktab dengan terdiri daripada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik.

Iklan

Dr Nazli berkata, apa yang menggembirakan bagi dirinya apabila berjaya membantu seorang jemaah tua yang keletihan selepas tersesat jauh beberapa minggu lalu.

"Ada seorang jemaah yang buat umrah kali pertama sesat dan tidak pulang ke tempat penginapan.

"Isteri saya panggil saya untuk periksa keadaannya dan saya dapati dia keletihan serta mengalami dehidrasi. Lalu saya panggil doktor perubatan untuk periksa dirinya. Saya pun tidak bawa apa-apa alat," katanya.

Wan Nor Hasnita berkata, beliau dan suami sememangnya sering membuat sesuatu aktiviti bersama-sama termasuk dalam hal menyertai Sahabat Maktab.

"Saya memang selalu bersama-sama. Saya juga boleh bantu terutama untuk jemaah yang tua,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, program Sahabat Maktab yang diperkenal sejak tahun 2006 merupakan inisiatif untuk memberi peluang jemaah haji berkhidmat kepada jemaah yang lain.

Walaupun bilangan mereka juga tidak sampai satu peratus daripada keseluruhan jemaah,kumpulan kecil ini menggunakan pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam membantu jemaah lain.

"Sahabat Maktab akan bekerjasama membantu petugas haji mengurus kelancaran aktiviti jemaah haji di maktab terutama ketika operasi Masyair.

"Sahabat ini dipilih dalam kalangan jemaah haji yang bersedia membantu Tabung Haji secara sukarela dan mempunyai sifat kepimpinan dan latar belakang mengurus yang baik," jelasnya.

Tambah Syed Saleh, pihaknya telah menerima lebih 500 permohonan untuk menyertai Sahabat Maktab sejak ketika kursus di tanah air lagi.

Sebanyak 315 orang Sahabat Maktab dipilih untuk musim haji 1445H/2024M bagi mewakili sembilan maktab yang lain.

Terdapat tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik yang akan memberikan sumbangan tanpa sebarang imbuhan.

Sahabat Ibadat mempunyai latar belakang pengetahuan agama untuk turut membantu Pengurusan Maktab mengendali aktiviti jemaah haji.

Sahabat Medik pula mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan/kesihatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!