Karnival Rakyat Karangkraf kembalikan nostalgia zaman dahulu

Iklan
Poster Karnival Rakyat Karangkraf.

SHAH ALAM - Karnival Rakyat Karangkraf bakal membawa kelainan apabila mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan membabitkan dua komponen utama iaitu sukan rakyat serta pentas rakyat.

Pengarah projeknya, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, semua aktiviti dan pertandingan dilaksanakan merangkumi semua aspek seni tradisional serta moden yang boleh disertai oleh setiap lapisan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah SinarPlus MakanFest, Fiesta Kucing Tomkraf, Jualan Rahmah, pertunjukan seni persembahan, permainan tradisional dan sukan kampung, rumah hantu, hari kantin sekolah Sinar Bestari, demonstrasi badan unit beruniform serta cabutan bertuah.

Nik Justin

"Bagi pertandingan pula terdiri daripada dua kategori iaitu peringkat sekolah seperti tating lawi, tuju tin, dikir barat, sajak dan bercerita manakala bagi orang awam ialah busana tradisional cilik, autoshow motor klasik, pakaian tercantik Tomkraf serta sukaneka kampung.

Iklan

"Setiap pertandingan yang melibatkan pelajar sekolah mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi memastikan segala peraturan dan syarat mematuhi garis panduan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya kepada Sinar Harian.

Karnival Sukan Rakyat Karangkraf akan dianjurkan pada 26 sehingga 28 Julai ini bermula jam 9 pagi hingga 7 malam di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

Iklan

Penganjuran program berkenaan adalah sempena ulang tahun ke-18 Sinar Harian selain meraikan keunikan warisan budaya Malaysia serta memberikan penghargaan kepada pembaca setia akhbar tersebut.

Ujarnya, bagi SinarPlus MakanFest pula akan menampilkan lebih 50 reruai dan trak makanan dengan menampilkan pelbagai makanan unik dan tradisional yang terdapat di Malaysia.

Tambah beliau, karnival tersebut juga bertujuan untuk mendekatkan generasi muda dengan adat dan budaya pada zaman dahulu serta merasai sendiri aktiviti yang ibu bapa mereka main sewaktu kecil.

"Karnival ini berteraskan kekeluargaan yang mana kita dapat dedahkan kepada anak muda bahawa kehidupan bukan sahaja di media sosial dan internet. Saya harap semua dapat menanda kalendar masing-masing pada tarikh 26 hingga 28 Julai ini untuk hadir ke karnival.

"Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan suasana dan merasai sendiri aktiviti yang dianjurkan dan masuk adalah percuma. Mereka hanya perlu daftar ketika hadir kerana berpeluang memenangi hadiah istimewa menerusi sesi cabutan bertuah.

"Jika ada sebarang persoalan dan maklumat lanjut mengenai program ini boleh layari https://www.sinarharian.com.my/karnival-rakyat-karangkraf bagi mendapatkan butiran serta 'Google Form' kehadiran ke karnival," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!