Skrip berbeza beregu senior, junior

Iklan
Roy King (kanan) dan Wan Arif akan menentang pasangan Denmark dalam aksi separuh akhir Malaysia Masters di Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto: Bernama.

SKRIP berbeza dialami tiga beregu lelaki negara apabila perjuangan dua pasangan senior tersekat dalam saingan suku akhir Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ketika beregu lelaki sedang meningkat naik, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mara ke separuh akhir, gandingan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terpaksa akur ditunjukkan jalan keluar sebentar tadi.

Iklan
Iklan

Wan Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-47 dunia menumpaskan pilihan keenam kejohanan, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 2-1 untuk mara ke saingan separuh akhir pada Sabtu.

Mereka memulakan aksi dengan langkah kanan apabila menang 21-18 pada set pertama, namun terpaksa akur dengan gandingan berpengalaman itu yang mengikat permainan 1-1 dengan kemenangan 21-4 pada permainan kedua.

Iklan
Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin terpaksa akur tewas kepada gandingan Denmark dalam saingan suku akhir Malaysia Masters di Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto: Bernama.

Enggan berputus asa, pasangan muda negara itu mengenepikan cabaran sengit Kjaer-Sogaard sebelum menoktahkan kemenangan 21-18 dalam tempoh lebih sejam permainan.

"Alhamdulillah, gembira dengan kemenangan ini. Esok (Sabtu) akan berikan yang lebih baik kerana saya main teruk hari ini (Jumaat) dan perlu baiki lagi kelemahan.

Iklan

"Sasaran kami sebenarnya sehingga ke saingan suku akhir, namun apabila telah sampai ke separuh akhir sudah pasti mahu ke final dan muncul juara. Cuba buat yang terbaik tanpa mengira siapa lawan," ujar Wan Arif.

Dalam pada itu, impian Aaron-Wooi Yik untuk mengikut jejak Roy King-Wan Arif tidak kesampaian setelah kalah kepada pasangan Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung-seung dalam saingan yang berlangsung sehingga ke set penentuan.

Biarpun pasangan negara itu tewas pada set pertama 11-21, namun mereka bangkit untuk mengikat kedudukan 1-1 menerusi kemenangan 21-19.

Perjuangan Aaron (kiri) dan Wooi Yik dalam Kejohanan Malaysia Masters tersekat dalam saingan suku akhir pada Jumaat. - Foto: Bernama.

Aaron-Wooi Yik bagaimanapun gagal meneruskan momentum positif apabila terpaksa menyerahkan kemenangan kepada Jin Yong-Sung-seung yang menamatkan saingan dengan 21-19 dalam tempoh sejam permainan.

"Banyak buat kesilapan dan teragak-agak dalam permainan. Perlu perbaiki lagi kelemahan untuk dua kejohanan akan datang," ujar Aaron.

Nur Izzuddin-Sze Fei pula tewas straight set kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-19, 21-17 dalam masa 46 minit perlawanan.

Pasangan Denmark itu akan membuat perhitungan dengan Wan Arif-Roy King dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!