Saman AS$346 juta 1MDB: Rosmah perlu fail pernyataan pembelaan sebelum 4 Julai

Iklan
Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor perlu memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman AS$346 juta yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain berhubung pembelian barangan mewah berjumlah lebih AS$346 juta, yang dikatakan diperoleh menerusi penyelewengan dana 1MDB sebelum 4 Julai.

Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Rosmah berkata, timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Malarselvi Sanmugam turut mengarahkan plaintif yang terdiri daripada 11 syarikat memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan sebelum 2 Ogos.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, semasa pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian hari ini, mahkamah turut menetapkan 14 Jun untuk pengurusan kes.

Selain 1MDB, tuntutan mahkamah yang difailkan pada 9 Mei juga menyenaraikan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited; Global Diversified Investment Company Limited; dan SRC International Sdn Bhd sebagai plaintif pertama hingga keenam.

Iklan

Lima syarikat lain yang terdiri daripada Affinity Equity International Partners Limited; Alsen Chance Holdings Limited; Blackrock Commodities (Global) Limited; Blackstone Asia Real Estate Partners Limited; dan Brightstone Jewellery Limited, disenaraikan sebagai plaintif ketujuh hingga kesebelas.

Kesemua plaintif menamakan Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.

Iklan

Plaintif berhujah bahawa barangan mewah itu seperti barang kemas, jam tangan, dan beg tangan, dibeli atau diperoleh oleh Rosmah atau defendan kedua, bukan dengan dana peribadi Rosmah, sebaliknya dengan dana yang diselewengkan daripada plaintif pertama hingga keenam.

"Dana itu disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir, termasuk plaintif ketujuh hingga kesebelas, sebelum diagihkan kepada 48 vendor berbeza untuk pembelian kesemua barangan mewah ini, dengan jumlah 320 pembayaran berjumlah AS$346,010,489,” menurut pernyataan tuntutan.

Oleh itu antara tuntutan lain, semua syarikat menuntut Rosmah membayar US$346,010,489 atau apa-apa jumlah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon perintah untuk Shabnam membayar ganti rugi atau pampasan yang akan dinilai kemudian.

Plaintif turut meminta pengisytiharan, termasuk yang menegaskan bahawa plaintif pertama hingga keenam memegang pemilikan sah barangan mewah itu, yang pada masa ini dikatakan dimiliki Rosmah.

Turut diminta ialah ganti rugi teruk dan teladan, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!