Malaysia Masters: Satu slot final dalam tangan

Iklan
Soon Huat (kiri) dan Shevon akan berdepan rakan senegara dalam saingan separuh akhir Malaysia Masters di Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto: Agensi

SKUAD badminton negara mengesahkan satu slot final Malaysia Masters 2024 setelah dua wakil bakal bertembung sesama sendiri di separuh akhir dalam acara beregu campuran di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu.

Pilihan utama kejohanan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan apabila mara ke kelompok empat terbaik setelah menumpaskan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing secara straight set dalam aksi suku akhir sebentar tadi.

Iklan
Iklan

Mereka yang sudah meraih slot Sukan Olimpik Paris 2024 ditentang sengit Kian Meng-Pei Jing sebelum menang 21-19 pada set pertama dan kemudian meneruskan rentak positif untuk mengesahkan kemenangan 21-14 dalam tempoh 39 minit permainan.

Menyusul kemudian pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas wakil Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam satu lagi aksi suku akhir.

Iklan

Malah kemaraan mereka ke separuh akhir wajar dipuji apabila Soon Huat terpaksa menahan kesakitan setelah mengalami kecederaan pergelangan tangan dan pinggul kanan.

Ketinggalan 12-21 pada set pertama tidak mematahkan semangat mereka untuk mempamerkan aksi lebih bertenaga sebelum menang pada permainan berikutnya 21-17.

Iklan

Momentum positif diteruskan pasangan pengantin baharu itu apabila mengesahkan kemenangan 21-17 dalam tempoh satu jam 10 minit permainan.

"Ini adalah kecederaan lama dan ia kembali berulang hari ini (Jumaat) ketika saya cuba mengawal 'shuttle' dari pihak lawan pada set kedua.

"Selepas itu saya cuba berhati-hati bagi mengelak ia lebih teruk, namun lega dapat mengawal permainan dengan bantuan rakan sepasukan," ujar Soon Huat.

Dalam pada itu, Ee Wei enggan terlalu memikirkan siapa lawan kerana beliau dan pasangan hanya mahu fokus kepada pemainan sendiri.

"Seperti yang sering perkatakan sebelum ini, saya hanya mahu fokus kepada permainan sendiri dan cuba beri yang terbaik dalam permainan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!