PH hadapi tugas sukar

Iklan
Gambar kecil: Jeniri

SHAH ALAM - Lima kekalahan pada pilihan raya kecil (PRK) memberi gambaran bahawa prestasi Pakatan Harapan (PH) kini berada di tahap membimbangkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya, Dr Jeniri Amir berkata, sekiranya momentum kekalahan itu berterusan, tidak mustahil PH yang kini sudah memerintah selama kira-kira 20 bulan hanya menjadi kerajaan sepenggal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegagalan mengotakan janji ditambah dengan kekuatan Muafakat Nasional, PH boleh melupakan hasrat untuk terus menjadi kerajaan selepas PRU15.

"Bercakap dalam konteks PRN Sarawak, PH bakal bergelut untuk memenangi hati rakyat kerana prestasi dan keyakinan yang merudum selain layanan terhadap negeri itu. Kesukaran itu juga bakal dirasai kerajaan Persekutuan kerana sentimen kenegerian rakyat yang cukup tebal terhadap parti tempatan.

Iklan

"Jika kita lihat, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sempena ulang tahun ketiga pentadbirannya melancarkan Program Sarawakku Sayang bertemakan Jaga Sarawak, Intu Sarawak yang memberi bayangan naratif kempen dalam tempoh setahun ini sebelum PRN," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Jeniri berkata, isu seperti pembayaran cukai jualan lima peratus minyak dan gas, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan royalti minyak Sarawak dijangka akan dimainkan sepanjang kempen PRN nanti.

Iklan

"Isu-isu ini bakal dikaitkan dengan layanan kerajaan Persekutuan yang diterajui PH terhadap Sarawak. Ini bukan lagi soal kerajaan Sarawak dengan Petronas sebaliknya isu rakyat dengan Petronas dan PH.

"Sudah pasti naratif ini akan membangkitkan semangat nasionalis kenegerian yang cukup mudah menangkap imaginasi politik rakyat. PH pastinya berdepan tugas sukar untuk merampas negeri itu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.

Mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jeniri berpendapat. ia dijangka mampu membetulkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang dianggap tidak betul namun bergantung kepada bagaimana pengganti jawatan itu memainkan naratif.

"Saya boleh sifatkan baki tiga tahun sebelum PRU15 cukup singkat bagi membuat pembetulan. Mungkin kalau kena dengan caranya keyakinan rakyat kepada kerajaan itu naik sedikit sahaja.

"Tetapi jika peralihan kuasa berlaku dalam masa terdekat ini, saya jangkakan impaknya tidak cukup kuat untuk PRN Sarawak ini," katanya.

Menurutnya, antara faktor lain yang bakal memberikan kelebihan kepada GPS pada PRN Sarawak ialah peruntukan sebanyak RM20 bilion bagi tempoh dua tahun yang tertinggi dalam sejarah negeri dan Semenanjung bagi menangani isu utama iaitu bekalan air bersih dan elektrik di pedalaman.

"Sekali lagi PH dilihat jauh ketinggalan dalam perkara ini dengan GPS mahu memastikan bukan sahaja masalah di pedalaman dapat ditangani dengan efektif tetapi mereka diluar bandar akan tertarik untuk menyokong parti pemerintah," katanya.

Tambahnya, sentimen kekecewaan rakyat terhadap kerajaan PH di Semenanjung berkaitan ekonomi dan kos sara hidup yang menekan rakyat Semenanjung telah menyeberangi Laut China Selatan dan ia dibuktikan menerusi kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil Kimanis.

"Pandangan saya isu Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan isu dominan selain diperkukuhkan dengan isu-isu nasional seperti pengurangan bantuan kepada golongan memerlukan dan peningkatan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan berkesan.

"Pengundi Kimanis membuktikan celik politik rakyat meningkat secara drastik selepas PRU lalu apatah lagi peranan media sosial dalam menyampaikan maklumat. pengundi tidak takut membuat pilihan atau perubahan kerana sedar hak mereka," katanya.