'Geng Capang' aktif pecah bangunan di Kedah, Perak tumpas

Iklan
Datuk Fisol Salleh

ALOR SETAR - Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Capang’ dengan penahanan 11 individu termasuk tiga wanita yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah bangunan kerajaan dan sekolah di Kedah dan Perak.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 41 tahun yang berasal dari Baling itu ditahan di empat lokasi berasingan, Selasa lepas.

Iklan
Iklan

"Geng yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini menyasarkan bangunan kerajaan dan sekolah dengan memotong pagar belakang bangunan sebelum memasuki pejabat pentadbiran. Mereka akan mencuri peralatan elektronik seperti komputer riba dan telefon bimbit yang ditinggalkan di situ.

"Mereka melakukan kegiatan ini pada sebelah pagi, mungkin mereka tahu tahap keselamatan pada waktu itu rendah...dengan penahanan kesemua suspek ini, kita telah berjaya menyelesaikan 25 kes pecah bangunan kerajaan dan sekolah di Kedah dan dua di Perak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya turut merampas tiga kereta yang digunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah itu serta 20 telefon bimbit, enam tablet, tiga kamera dan beberapa barangan lain.

"Hasil semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal urin mendapati lapan daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua mereka ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan rumah dengan bersembunyi atau pecah rumah dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara atau denda,” katanya.

Iklan

Sementara itu Fisol berkata, mengikut statistik dari Januari hingga awal Mei lepas 22 sekolah dan 11 bangunan kerajaan di lima daerah di Kedah telah dilaporkan dipecah masuk dan barang-barang milik kerajaan seperti komputer riba, tablet dan beberapa barangan lain dilarikan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!