Pemuda UMNO akan terus pertahan UiTM eksklusif bumiputera

Iklan
Shah Zanuriman. Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Pemuda UMNO akan terus mempertahankan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai satu-satunya universiti eksklusif untuk bumiputera.

Exco Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, UiTM telah melahirkan ramai anak Melayu bumiputera yang berjaya mengubah nasib diri dan keluarga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tuduhan mengaitkan UiTM sebagai institusi apartheid bukan pertama kali berlaku malah mendakwa sering menjadi serangan chauvinist yang tidak senang melihat perkembangan institusi itu.

"Sejak tertubuhnya Dewan Latehan RIDA (1956), ditukar kepada Maktab MARA (1965), Institut Teknologi MARA atau ITM (1967) dan seterusnya menjadi Universiti Teknologi MARA atau UiTM pada tahun 1999, institusi ini sering menjadi sasaran pihak chauvinist yang tidak senang duduk melihat institusi yang berjaya mengubah sosio ekonomi bumiputera.

Iklan

"Mereka masih tidak boleh menerima kontrak sosial dan tolak ansur orang Melayu dalam pembentukan negara kita," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pandangan dilontarkan kolumnis dalam sebuah portal berita itu menunjukkan pentingnya UiTM untuk terus kekal menjadi eksklusif kepada kaum bumiputera sahaja.

Iklan

"Sikap chauvinist seperti ini sedikit pun tidak akan melemahkan semangat anak bumiputera terutama Pemuda UMNO malah menyemarakkan lagi semangat untuk terus mempertahankan UiTM.

"Sebagai produk UiTM, saya akan terus mempertahankan UiTM sebagai satu-satunya universiti yang eksklusif untuk bumiputera seiring dengan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta Kontrak Sosial yang telah dipersetujui ketika pembentukan negara kita," katanya.

Pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa Andrew membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung penulisannya yang mendakwa UiTM mengamalkan sistem 'Apartheid'.

Muhamad Akmal turut menggesa, portal berita terlibat untuk menurunkan artikel tersebut kerana telah mengguris hati orang Melayu, khususnya kumpulan penuntut yang pernah menuntut ilmu di institusi berkenaan.

Beliau turut memaklumkan, Pemuda UMNO seluruh negara akan digerakkan untuk membuat laporan polis, hari ini, berhubung penulisan yang dianggap dangkal dan bersifat perkauman itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!