Malaysia garang buka saingan acara berpasukan

Iklan
Aksi regu C Malaysia Mohammad Azlan Alias ketika menentang pasukan Brunei dalam Acara Berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa hari ini. Foto Bernama

MALAYSIA memulakan rentak cemerlang acara berpasukan kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas mudah menewaskan Brunei 3-0 pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan C di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Khamis.

Berbekalkan kejayaan berganda meraih juara acara double dan regu semalam, anak buah Ahmad Jais Baharun bermula langkah kanan apabila Regu A yang dibarisi Amirul Zazwan Amir, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Baihakki A'ripin menyumbang mata pendahuluan buat negara dengan kemenangan 15-11 dan 15-7.

Iklan
Iklan

Regu B yang membariskan Muhammad Zaim Razali, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican dan Muhammad Shahalril Aiman Halim memberikan keselesaan apabila menyumbang mata kedua dengan keputusan 15-7 dan 15-9.

Malaysia terus menambah duka buat Brunei dengan kutipan mata ketiga menerusi Regu C dibarisi Farhan Adam, Zuhri Muhammad Zain dan Mohamad Azlan Alias yang mencatat kemenangan 15-6 dan 15-5.

Iklan

Skuad negara akan bertemu Jepun pada perlawanan kedua Kumpulan C pada Jumaat.

Muhammad Shahalril Aiman ketika ditemui berkata, skuad negara bagaimanapun tidak akan memandang mudah cabaran Jepun selepas ini dalam usaha untuk melangkah ke aksi final.

Iklan

"Alhamdulillah dengan kemenangan diperoleh. Bagi saya jurulatih sudah menurunkan semua pemain untuk merasai rentak perlawanan berpasukan ini.

"Siapa pun yang diturunkan selepas ini akan menjanjikan persembahan 100 peratus," katanya.

Turut mencatat kemenangan pada perlawanan pertama peringkat kumpulan hari ini ialah Indonesia yang menewaskan Vietnam 3-0 dan akan bertemu Singapura pada perlawanan kedua Kumpulan A.

Dalam pada itu, kuasa besar sepak takraw, Thailand menewaskan India 3-0 dan akan bertemu China di perlawanan kedua Kumpulan B.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!