Maritim Kuala Kedah selamatkan nelayan putus jari kelengkeng di laut

Iklan
Anggota Maritim Kuala Kedah menyelamatkan mangsa dan membawa pulang ke jeti untuk diberi rawatan lanjut.

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah telah melaksanakan evakuasi perubatan (MEDEVEC) ke atas seorang kru bot nelayan tempatan yang mengalami kecederaan putus sebahagian jari kelengkeng kerana terkena pukat jam 1 petang pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Pusat Operasi Maritim Kuala Kedah menerima panggilan daripada pengadu yang dikenali sebagai Ridzuan memaklumkan bahawa mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan itu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan MEDEVAC dan bot Maritim Malaysia ditugaskan ke lokasi bot mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang di kedudukan 9.0 batu nautika Barat Daya Muara Kuala Kedah.

Pasukan perubatan memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dirujuk kepada Hospital Sultanah Bahiyah.

"Mangsa kemudiannya dipindahkan ke bot Maritim dan dibawa ke Jeti Feri Kuala Kedah sebelum dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sultanah Bahiyah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Noor Azreyanti berkata, Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar memastikan kesihatan diri dalam keadaan yang baik selain mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, dan membawa PLB (Personal Locator Beacon).

"Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!