Pelajar didakwa pukul pengadil, KFA tunggu laporan penuh

Iklan
Mohd Farhan (kiri) dan Laporan Sinar Harian.

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) sedang menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berhubung kekecohan seorang pelajar lelaki dikatakan cuba memukul pengadil pada Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Kubang Pasu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib KFA, Mohd Farhan Ahmad berkata, JPN Kedah sebagai badan penganjur kepada kejohanan tersebut akan menyerahkan laporan berkenaan kepada pihaknya sebelum sebarang keputusan diputuskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian yang tular tersebut seharusnya tidak berlaku melibatkan kekerasan terutamanya pemain di peringkat akar umbi.

"Ini memberi kesedaran kepada kita bahawa generasi muda sekarang sangat mudah menggunakan kekerasan tanpa mempertimbangkan kesan terhadap pasukan.

Iklan

"Pihak Jawatankuasa Tatatertib KFA akan memastikan keputusan yang akan dibuat adalah adil dan saksama. Mohon pihak lain tidak membuat apa-apa spekulasi sebelum keputusan diumum,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, tular video berlaku pergaduhan antara pemain melibatkan dua pasukan yang bertanding sebelum seorang pelajar menolak pengadil itu secara tiba-tiba.

Iklan

Video tersebut memaparkan keadaan semakin tegang selepas pengadil tersebut cuba mengejar kembali pelajar berkenaan, namun beberapa pemain daripada pasukan sama cuba menolak, menyepak dan menumbuk pengadil terbabit.

Kejadian berjaya dikawal selepas beberapa individu yang berada di lokasi kejadian meredakan keadaan dan menenangkan pengadil berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!