Ambil tindakan bengkel ubah suai motosikal terlampau

Iklan
Tengku Ahmad Marwan. Laporan Sinar Harian pada Selasa.

SHAH ALAM - Bengkel yang dikesan menjalankan khidmat ubah suai kenderaan secara melampau perlu dikenakan tindakan tegas termasuk menggantung lesen perniagaan sedia ada.

Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, pemeriksaan secara berkala perlu dijalankan pihak berkuasa bagi mengesan kewujudan bengkel sebegini yang sanggup membelakangi undang-undang semata-mata demi mengaut keuntungan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, salah satu faktor berlakunya kegiatan seperti lumba haram kerana adanya bengkel yang menawarkan khidmat ubah suai kenderaan dan menjual pelbagai aksesori yang menyalahi undang-undang.

"Kewujudan bengkel sebegini perlu dibanteras dengan melakukan pemeriksaan secara rawak dan tindakan diambil bukan setakat keluarkan kompaun semata-mata namun rampasan perlu dijalankan melibatkan aksesori yang tidak dibenarkan itu.

Iklan

"Ada bengkel yang didapati telah beberapa kali diserbu kerana menjual aksesori tidak dibenarkan dan menjurus kepada berlakunya lumba haram namun masih beroperasi.

"Bagi mengekang perkara ini daripada berulang maka pihak berkuasa perlu menggantung lesen perniagaan yang dimilikinya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Katanya, akses mudah untuk membeli aksesori dan peralatan untuk menjadikan kenderaan itu bergerak lebih laju menjurus kepada berlakunya kegiatan seperti lumba haram.

"Keinginan untuk menguji kenderaan sama ada motosikal atau kereta setelah dipasang dengan aksesori yang kononnya menjadikan sesebuah kenderaan itu bergerak lebih laju mendorong kepada pelanggaran peraturan jalan raya.

"Tindakan ini bukan sahaja merisikokan nyawa sendiri malah pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Menurutnya, memandu dengan kelajuan melebihi had termasuk aktiviti lumba haram jelas merupakan kesalahan di sisi undang-undang.

"Pihak berkuasa dicadangkan supaya dapat meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya mengenai bahaya memandu melebihi had laju ditetapkan.

"Selain penekanan berkaitan kesedaran, penguatkuasaan perlu diperluas bukan sahaja melibatkan pengguna malah pihak bengkel yang terlibat dalam ubah suai kenderaan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Lebuhraya Guthrie di sini dikesan menjadi antara lokasi panas sebagai 'litar' kumpulan mat rempit berlumba dan melakukan aksi berbahaya.

Menurut polis, sepanjang tahun ini setakat 20 Mei, sebanyak 528 saman pelbagai kesalahan telah dikeluarkan terutamanya kesalahan tidak memiliki lesen memandu selain sitaan melibatkan 28 motosikal pelbagai jenis antaranya Yamaha 135LC, Yamaha RXZ dan Yamaha Y15ZR kerana kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai motosikal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!