Lawatan kedua PM Ke Jepun menandakan hubungan penting KL-Tokyo - Duta

Iklan
Shahril Affendi ketika sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dari 22 hingga 24 Mei 2024 bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei). Foto Bernama

TOKYO - Lawatan kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun dalam tempoh enam bulan jelas menggambarkan hubungan yang komprehensif dan penting terjalin selama 68 tahun antara kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata, walaupun lawatan itu singkat, namun ia padat dengan beberapa perjumpaan bersama penggubal dasar dan kapten industri, memandangkan perdana menteri perlu kembali ke Malaysia pada hujung minggu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Anwar akan tiba di Tokyo lewat hari ini untuk lawatan kerja tiga hari, diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Sebelum ini Perdana Menteri telah melakukan lawatan kerja selama lima hari ke Jepun pada Disember lepas.

Iklan

Bercakap kepada media di sini pada Rabu, Shahril berkata, Perdana Menteri akan berada di sini khusus bagi Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei), dan Anwar akan menjadi pemimpin pertama yang akan menyampaikan ucaptama di persidangan itu esok.

Ucapan beliau akan berkisar kepada tema ‘Asian Leadership in an Uncertain World’ yang menyentuh isu geopolitik dan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun depan.

Iklan

Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya Fumio Kishida di pejabatnya esok bagi membincangkan inisiatif mengukuhkan hubungan Malaysia-Jepun terutama yang berkaitan dengan teknologi tinggi; peralihan tenaga dan kerjasama alam sekitar; pertahanan dan keselamatan; pembinaan kapasiti dan pendidikan tinggi.

"Kedua-dua pemimpin itu juga akan berbincang mengenai isu-isu geopolitik dan serantau termasuk genosid di Gaza, perang di Ukraine, isu Laut China Selatan dan Semenanjung Korea,” kata Shahril.

Sebuah media tempatan melaporkan bahawa Kishida dan Anwar juga dijangka mengesahkan kerjasama mereka dalam mengukuhkan rantaian bekalan semikonduktor dalam pertemuan mereka.

Laporan yang memetik sumber kerajaan itu berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang, daripada penyahkarbonan, pendigitalan dan sistem komunikasi mudah alih 5G kepada keupayaan keselamatan siber.

Laporan itu juga berkata, Jepun berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara sedang membangun, secara kolektif dirujuk sebagai Global South, termasuk Asean yang akan dipengerusikan Malaysia tahun depan.

Anwar turut dijadualkan menghadiri dua sesi pertemuan dengan kapten syarikat-syarikat pemain industri di Jepun. Antara syarikat yang dijadualkan hadir ialah Mitsubishi Corporation, Tokyo Gas, Tokuyama Corporation, Eneos Holding dan IHI Corporation.

Satu lagi program yang pastinya mendapat perhatian dalam lawatan Anwar ialah ucapan beliau sempena memperingati mendiang Profesor Toshihiko Izutsu di Universiti Keio, Tokyo.

Izutsu ialah seorang sarjana Jepun yang mengkhusus dalam pengajian Islam dan perbandingan agama, dan turut dikenali sebagai penterjemah pertama dan terbaik al-Quran ke dalam bahasa Jepun.

Turut menjadi perhatian interaksi perdana menteri dengan media Jepun dan antarabangsa dalam majlis dialog di Japan National Press Club.

Perdana Menteri dijadual; berlepas kembali ke ibu negara selepas menunaikan solat Jumaat di Tokyo Camii Mosque, masjid terbesar di Tokyo. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!