Perkukuh kolaborasi antara negara sedang pesat membangun - Anwar

Iklan
Anwar (kiri) mengetuai delegasi Malaysia menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex bersama-sama pimpinan Kerajaan Uzbekistan diketuai Timbalan Perdana Menteri Jamshid Khodjaev. - Foto Bernama

SAMARKAND - Kolaborasi antara negara sedang pesat membangun perlu diperkukuh agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi masing-masing dalam kalangan negara yang terlibat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang kini berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi selama tiga hari sejak Jumaat lepas berkata, dalam konteks hubungan Malaysia dan Uzbekistan, kedua-dua negara perlu menggunakan kekuatan masing-masing untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan.

Iklan
Iklan

"Meskipun negara seperti Malaysia dan Uzbekistan banyak bergantung pada pelaburan negara-negara besar, namun masa hadapan kita amat bergantung pada keupayaan membina kekuatan sendiri,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, pada Ahad.

Perdana Menteri berkata, pada Sabtu beliau mengetuai delegasi Malaysia menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex, di sini, bersama-sama pimpinan Kerajaan Uzbekistan diketuai Timbalan Perdana Menteri Jamshid Khodjaev.

Iklan

Antara yang menyertai forum tersebut termasuklah syarikat Uzbekistan dengan pendapatan tahunan melebihi RM1 bilion seperti Eriell Group, Korzinka, Orient Group, Murad Buildings dan Asklepiy Group, selain syarikat Malaysia seperti Petronas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional, Proton, Sunway Group dan Sime Darby.

"Dalam ucapan, saya nyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama Malaysia-Uzbekistan dalam pelbagai sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan, elektrik dan elektronik (E&E), halal dan kewangan Islam, selain bidang baharu seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI),” kata beliau.

Iklan

Anwar turut berpandangan bahawa syarikat dan agensi di Malaysia perlu belajar daripada keupayaan Uzbekistan mencetus perubahan, pemodenan dan kemajuan ekonomi hanya dalam tempoh yang singkat.

Di luar forum itu Perdana Menteri berkata beliau dan Jamshid turut menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan serta syarikat Malaysia dan Uzbekistan yang turut membabitkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan universiti tempatan.

" Insya-ALLAH, Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia ini dijangka menjana hasil eksport sekurang-kurangnya RM710 juta, yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Agensi-agensi perlu mempermudah dan menyegerakan urusan perdagangan ini,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!