Kestabilan politik bawa pembangunan di Sarawak - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid menerima cenderahati daripada Presiden Parti Rakyat Sarawak, Datuk Joseph Salang Gandum semasa menghadiri Majlis Makan Malam Amal Pra Gawai 2024 Parti Rakyat Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Sibu malam Sabtu. - Foto Bernama

SIBU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kestabilan politik telah membawa banyak pembangunan dan kemajuan di Sarawak.

Beliau berkata, antara pembangunan dan kemajuan tersebut ialah pengenalan teknologi hidrogen oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Iklan
Iklan

Menurut Ahmad Zahid, tidak ada negeri di Malaysia yang mempunyai tujuh institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti di Sarawak yang menyediakan pengajaran dalam bidang teknologi seperti Internet Kebendaan, robotik dan teknologi baharu.

"Saya berkata demikian bukan kerana membandingkan Sarawak dengan negeri-negeri lain, namun hakikatnya ialah apabila kestabilan politik dapat dicapai atas usaha Tan Sri Abang Johari yang bukan hanya terkenal di Malaysia malah di luar negara,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan pra-Gawai Parti Rakyat Sarawak (PRS) 2024 di sini malam Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, amat penting bagi negeri mempunyai kestabilan politik untuk bergerak maju di dalam bidang teknologi.

Menurutnya, dahulu bidang TVET adalah pilihan kedua atau ketiga bagi ibu bapa yang anak-anak mereka gagal di dalam bidang akademik.

Iklan

"Tetapi Sarawak telah menggantikannya sebagai pilihan pertama anak-anak muda untuk mendapatkan pelajaran. Inilah yang dijadikan contoh dan kemajuan ini saya yakin adalah kerana kepimpinan yang baik oleh Tan Sri Abang Johari,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, selagi beliau diberikan amanah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneraju Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah, beliau akan memberikan keutamaan kepada kemajuan infrastruktur di kawasan luar bandar Sarawak.

Meskipun bukan terletak di bawah tanggungjawab kementeriannya, Ahmad Zahid berkata, beliau akan meminta Kerajaan Pusat bersama-sama kerajaan negeri membantu dalam memajukan rumah-rumah panjang yang uzur, musnah kerana kebakaran atau dilanda banjir.

Majlis sambutan itu turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang dan Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!