Penubuhan JKDM lebih kepada inisiatif parti politik - Ewon

Iklan
Ewon ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang, di Kompleks Sukan Penampang pada Sabtu.

PENAMPANG - Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick percaya penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) lebih kepada inisiatif parti politik dan tidak melalui wakil rakyat di negeri ini.

Malah beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah menjelaskan pandangannya yang tidak bersetuju dengan penubuhan JKDM apabila ia dibangkitkan di kabinet.

Iklan
Iklan

"Pandangan dan pendirian saya sudah direkodkan dengan jelas dalam perbincangan kabinet dan pendirian saya tidak berubah sejak saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Kompleks Sukan Penampang di sini pada Sabtu.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog juga tidak pernah ada perbincangan mengenainya.

Iklan

"Contohnya di Moyog, saya tidak pernah dibawa berbincang. Begitu juga di Kadamaian, saya tidak akan menghantar senarai bagi kawasan DUN Kadamaian kerana ini pendirian saya iaitu tidak harus ada satu pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang kedua dalam setiap kampung di Sabah.

"Sebagai wakil rakyat dari Sabah dan walaupun mempunyai kementerian Persekutuan, saya tetap berpendirian bahawa tidak harus ada JKDM di Sabah," katanya.

Iklan

Katanya lagi, Sabah mempunyai Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang sudah dipinda untuk pentadbiran kampung dan seharusnya hanya satu badan pengurusan kampung di negeri ini.

Menurutnya, ordinan itu telah diluluskan di DUN Sabah di mana hanya ada satu pentadbiran kampung iaitu JKKK yang diiktiraf yang dilantik oleh kerajaan negeri.

"Pada saya dan UPKO, harus ada satu institusi pentadbiran kampung mengikut ordinan yang telah diluluskan di DUN iaitu Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang telah diluluskan dan dipinda pada sidang DUN Januari lepas.

"Sekiranya penubuhan JKDM merupakan satu dasar negara, maka ia harus dilaksanakan di seluruh negara, tetapi di Sarawak dan beberapa negeri lain di Semenanjung ia tidak dilaksanakan.

"Saya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada kementerian yang berkenaan dan saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri sama ada ia dirujuk tentang penubuhan ini," katanya.

Sebelum itu, dalam lawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Sabah baru-baru ini telah menyerahkan watikah pelantikan JKDM kepada Ketua UMNO Sabab Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di Kinabatangan.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai meminta penjelasan penubuhan JKDM sedangkan sudah diwujudkan JKKK di setiap kampung di negeri ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!