Balai polis diserang: Jenazah Muhamad Syafiq selamat tiba di Kuantan

Iklan
Jenazah Allahyarham Muhamad Syafiq yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada Jumaat selamat tiba di rumah keluarganya di Taman Seri Mahkota Jaya,di sini, pada Sabtu.

KUANTAN - Jenazah Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada Jumaat selamat tiba di rumah keluarganya di Taman Seri Mahkota Jaya dekat sini untuk disembahyangkan.

Van membawa jenazah anggota ronda cegah jenayah yang bertugas di balai terbabit tiba dari Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor Bharu bagi pengurusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Gambang dekat sini.

Iklan
Iklan

Keranda Allahyarham yang dibaluti Jalur Gemilang dibawa keluar dari van jenazah disambut bapa Allahyarham, Ahmad Said Md Piah dan ahli keluarga dalam suasana sayu kira-kira jam 4.40 petang.

Jenazah Muhamad Syafiq telah dimandi dan dikafankan di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum dibawa ke masjid berkenaan untuk solat jenazah.

Iklan
Jenazah Muhamad Syafiq disembahyangkan kira-kira 100 orang di rumah keluarganya di Taman Seri Mahkota Jaya pada Sabtu.

Seterusnya jenazah Allahyarham di bawa menaiki van jenazah kira-kira jam 11.50 pagi ke kediaman keluarganya bagi urusan pengebumian dan disembahyangkan untuk kali kedua yang disertai kira- kira 100 orang.

Sebelum itu, Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Yunan Abdul Samad hadir bagi menyalurkan sumbangan sebanyak RM8,000 kepada ahli keluarga Allahyarham.

Iklan

Turut kelihatan menziarahi keluarga Allahyarham, wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan serta Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman bersama polis IPK turut bertanya khabar, selain menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham pada jam 3.30 petang.

Allahyarham Muhamad Syafiq terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada jam 2.45 pagi semalam.

Turut turut terkorban, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, serta suspek berusia 21 tahun manakala Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera ditembak dan ditetak kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, suspek yang berusia 21 tahun yang ditembak mati di tempat kejadian, sememangnya telah merancang dan melakukan serangan itu, untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!