2,253 graduan MSU terima skrol tamat pengajian

Iklan
Tengku Sarafudin Badlishah dan Mohd Shukri bergambar bersama kesemua graduan MSU di pekarangan universiti.

SHAH ALAM - Seramai 2,253 graduan Management and Science University (MSU) menerima skrol tamat pengajian sempena majlis konvokesyen kali ke-33 yang berlangsung pada Sabtu.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pihaknya gembira dan berbangga dengan peningkatan jumlah graduan setiap tahun menerusi 128 program pengajian yang disediakan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, MSU komited dalam memperkasakan aspek pembelajaran dan pengajaran melalui program peningkatan kemahiran bagi melahirkan graduan yang mampu memenuhi keperluan industri serta pasaran kerjaya.

Gelagat pelajar MSU ketika Sidang 1 Majlis Konvokesyen MSU ke-33 pada Sabtu.

"Sehingga kini, MSU mempunyai lebih daripada 350 rakan universiti di seluruh dunia merangkumi rantau Asia Tenggara, Asia Timur, Asia Tengah, China, Timur Tengah, Eurasia, Eropah, Asia Barat dan Oceania,” katanya ketika berucap di Dewan Canselor MSU, di sini.

Iklan

Raja Muda Kedah merangkap Canselor MSU, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin turut hadir menyempurnakan majlis diiringi Naib Canselornya, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan universiti.

Penerima Anugerah Emas Canselor, Anugerah Presiden dan Anugerah Kecemerlangan bergambar dengan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah (tengah) serta Presiden MSU, Mohd Shukri (tiga dari kiri) ketika Majlis Konvokesyen MSU ke-33 pada Sabtu.

Terdapat lima kategori anugerah khas kecemerlangan diberikan kepada 59 graduan yang membawa pulang hadiah sumbangan Yayasan MSU berbentuk plak, wang tunai dan biasiswa sambung belajar di universiti berkenaan.

Iklan

Selain itu, seramai 28 graduan menerima Anugerah Akademik manakala 26 graduan memperoleh Anugerah Industri.

Antara rakan industri yang terlibat ialah MSU Medical Centre; Institut Jantung Negara (IJN); Betelcare Sdn Bhd; Rakyat Trustee Berhad; Mega Fortis Sdn Bhd; MTS Fibromat (M) Sdn Bhd; Malaysian Institute of Accountants (MIA); Affin Bank Berhad dan Sugar Enterprise (Richiamo) serta Recruit, Place & Train Pte Ltd iaitu syarikat berpengkalan di Singapura.

Sementara itu, penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Wiksa Virijo Vicheet, 25, memaklumkan, dia tidak menyangka dapat merangkul penganugerahan tertinggi tersebut selepas empat tahun menimba ilmu dalam bidang nutrisi.

Wiksa (tengah) bergambar bersama ibu dan bapanya selepas Majlis Konvokesyen MSU ke-33 Sidang 1, di sini pada Sabtu.

Tambah anak kelahiran Kedah terbabit, pengiktirafan itu hasil sokongan ibu bapa dan presiden MSU sendiri yang menjadikannya bersemangat untuk menghabiskan pengajian sehingga berjaya mencapai cita-cita sebagai pakar pemakanan.

"Saya memang teruja dan terkejut kerana pada mulanya tidak diberitahu bakal menerima anugerah ini disebabkan ada 60 penerima lain juga.

"Memang sangat berbesar hati dapat sampaikan ucapan sebagai wakil pelajar dan dedikasikan ia buat ibu bapa serta seluruh warga kerja MSU.

"Sekarang ini saya sudah bekerja sebagai pakar pemakanan di sebuah syarikat perunding nutrisi di Cyberjaya dan kemungkinan besar akan sambung pengajian lagi di MSU nanti,” ujar gadis berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!