Faisal Halim tak sabar nak main bola

Iklan
Faisal

SEMANGAT pemain Selangor FC, Faisal Halim sangat luar biasa apabila menyatakan hasrat mahu bermain bola sepak walaupun masih belum pulih akibat kecederaan simbahan asid baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, Faisal menyatakan keinginannya itu termasuk mahu membantu Selangor FC beraksi menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) dalam aksi Liga Super malam ini.

Iklan
Iklan

"Hampir setiap kali pertemuan Faisal akan menyatakan keinginan mahu kembali ke padang menjalani latihan atau menyepak bola.

"Dia mengetahui malam ini (Sabtu) Selangor akan berentap dengan KDA FC. Itu pun dia nyatakan hasrat mahu beraksi bersama pasukan," katanya.

Iklan

Bagaimanapun, Shahril berkata, beliau terpaksa menenangkan Faisal atau lebih mesra disapa sebagai Mickey supaya fokus kepada pemulihannya dahulu sebelum berfikir untuk kembali beraksi.

"Saya terpaksa menenangkannya dan memberitahu bahawa dia perlu kembali sihat jika mahu bermain bola seperti biasa," katanya.

Iklan

Sebelum ini, Faisal yang juga pemain sayap Harimau Malaya mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Dia terpaksa menjalani tiga pembedahan dan menunjukkan petanda positif untuk pulih selain sudah dipindahkan ke wad biasa daripada unit rawatan rapi (ICU).

Faisal akan menjalani pembedahan keempat iaitu 'split skin graft' (SSG) yang mungkin akan menjadi pembedahan terakhirnya pada minggu depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!