Bekalan lembu korban di Negeri Sembilan mencukupi - Exco

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF

JELEBU - Bekalan lembu bagi keperluan sambutan Aidiladha di Negeri Sembilan adalah mencukupi.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, selain untuk kegunaan ibadah korban, bekalan daging ternakan itu juga cukup untuk menampung keperluan penduduk di negeri ini sempena perayaan tersebut.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti membawa masuk lembu dari negeri lain bagi menjamin kepentingan penternak dan peniaga daging.

"Ada permintaan supaya kerajaan negeri mengawal harga lembu untuk ibadah korban ini berikutan harga yang tidak seragam, namun kita tidak boleh melaksanakan permintaan berkenaan disebabkan faktor tertentu.

Iklan

"Kebiasaan bayaran bahagian korban bagi mereka yang mahu melakukan ibadah itu secara berkongsi atau membeli seekor untuk diri sendiri atau ahli keluarga, ia mengambil kira keadaan lembu seperti usia dan berat, maka harganya sudah tentu berbeza-beza," katanya.

Jalaluddin (tiga dari kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada bakal haji.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Titipan Kasih Jemaah Haji dan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Dewan Kompleks UMNO Jelebu di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai yang berhasrat melakukan ibadah korban digalakkan supaya mendapatkan haiwan ternakan itu daripada penternak tempatan.

"Negeri ini mempunyai bekalan lembu yang mencukupi dan tidak ada keperluan untuk mendapatkan bekalan lembu dari luar.

"Kerajaan juga memberi jaminan harga daging lembu sempena Aidiladha akan kekal pada harga RM41-RM42 sekilogram," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!