Jemaah haji diminta jaga tanda pengenalan setiap masa

Iklan
Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya sentiasa menjaga tanda pengenalan yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang berada di Tanah Suci bagi memastikan mereka dapat dikenali dan dibantu jika berlaku sebarang kejadian luar jangka. Gambar fail Bernama

MAKKAH - Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya sentiasa menjaga tanda pengenalan yang diberikan oleh Tabung Haji (TH) setiap masa ketika di Tanah Suci bagi memastikan mereka boleh dibantu jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Pengurus Khidmat Pelanggan TH di Makkah, Mohamad Zakee Mohd Zaludin berkata, tanda pengenalan ini meliputi lanyard, lencana dan juga gelang haji yang diberikan sejak di Malaysia lagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat 9 Mei lalu, pusat khidmat pelanggan telah menerima 71 kes aduan dan kebanyakan kes adalah berkenaan kehilangan tanda pengenalan diri seperti lanyard (tali penyandang) dan gelang haji.

"Kita nasihatkan semua jemaah haji kita untuk menjaga seelok-eloknya dan sebaik mungkin tanda pengenalan masing-masing seperti lanyard, lencana dan juga gelang haji agar tidak kehilangan.

Iklan

"Ini kerana di tanah suci, itulah tanda pengenalan kita menggantikan kad pengenalan dan dokumen penting di tanah air," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini.

Pada masa yang sama, ujarnya seperti musim haji sebelum ini, Pasukan Peronda TH akan bertugas 24 jam di lapan lokasi khusus di sekitar Masjidil Haram bagi membantu jemaah haji, terutama dari segi pandu arah.

Iklan
Pasukan Peronda TH akan bertugas 24 jam di lapan lokasi khusus di sekitar Masjidil Haram bagi membantu jemaah haji.

"Antara kawasan terlibat adalah dua kawasan di sekitar Marwah, pintu Assalam, dataran Safwah, kawasan dataran laluan ke Misfalah dan berhadapan pintu King Abdullah," katanya.

Menurutnya, kebanyakan kes jemaah tersasar adalah melibatkan mereka yang kali pertama tiba Tanah Suci dan belum pernah menunaikan umrah terutama dalam kalangan warga emas.

"Jadi sebab itu kita tempatkan Pasukan Peronda TH di lapan kawasan utama di sekitar Masjidil Haram untuk melihat pergerakan mereka dan memantau pergerakan mereka.

"Contohnya bagi jemaah yang menunaikan umrah pertama memang kita akan lihat dan pantau perjalanan mereka dari satu check point ke check point lain. Jika ada jemaah lambat pulang kita akan maklumkan dalam kumpulan," jelasnya.

Mohamad Zakee turut memaklumkan setiap aduan dan maklumat kehilangan jemaah haji boleh diajukan di talian Hotline 012-570 4433.

Sementara itu, sistem pemakaian lanyard (tali penyandang lencana pengenalan diri) yang berbeza mengikut warna dalam kalangan jemaah haji Malaysia mengikut maktab penginapan yang diperkenalkan sejak tahun 2017 diteruskan bagi melancarkan operasi musim haji 1445H/2024.

Pengarah Operasi Maktab, Ibu Pejabat TH di Makkah Khairoddin Ahmad berkata, lanyard yang pertama yang mempunyai empat warna adalah pengenalan zon penginapan untuk jemaah haji yang melakukan umrah pertama semasa tiba di Makkah.

Menurutnya, ini bagi memudahkan unit peronda TH di Masjidil Haram mengenal pasti hotel penginapan jemaah haji berkenaan jika mereka tersasar daripada kumpulan.

Khairoddin menunjukkan lanyard yang akan dipakai oleh jemaah haji mengikut maktab masing-masing.

"Satu lagi lanyard mempunyai lapan warna yang harus dipakai setiap masa kerana ia merupakan tanda pengenalan kepada maktab jemaah terbabit sama ada Maktab 77, Maktab 78, dan sebagainya," katanya.

Khairuddin turut memaklumkan dalam hal pemilihan hotel penginapan untuk jemaah haji, TH sentiasa mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk jarak dengan masjid serta kemudahan untuk jemaah orang kelainan upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang mengerjakan ibadah haji.

"Bagi jemaah OKU atau berkerusi roda, kita akan cuba letakkan mereka dalam tingkat yang rendah, jika ada kekosongan selain bilik yang dekat dengan lif. Pemilihan bangunan penginapan telah melalui penilaian yang ketat, ini termasuk kemudahan untuk OKU," ujarnya.