Saya ingat orang buat cerita - Bapa

Iklan
Lokasi kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi tadi. Foto Bernama

KUANTAN - Pada awalnya Ahmad Said Md Piah, 65, menyangka berita mengenai kematian anaknya Konstabel Muhamad Syafiq dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor itu hanyalah cerita rekaan.

Namun, setelah mendapat panggilan telefon daripada polis memaklumkan mengenai perkara itu sekitar 8 pagi, dia yang ketika itu berada di kebun tidak menyangka kejadian itu benar-benar menimpa anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Iklan
Iklan

"Saya ingat orang hanya buat cerita atau scam (penipuan). Ada polis telefon maklumkan berkenaan kejadian itu...agak sukar nak percaya bila orang cakap anak pak cik, Syafiq meninggal dunia kena tembak...memang tak sangka betul.

"Saya balik rumah cakap dengan isteri kemudian tanya abang arwah yang kerja polis di Kuala Lumpur dan dia cakap benda itu betul arwah kena tembak," katanya dalam sebak ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Iklan

Menurut Ahmad Said yang juga pesara tentera, Muhamad Syafiq sangat meminati kerjaya sebagai anggota polis sehingga sanggup berhenti belajar dalam bidang forensik di sebuah kolej di ibu negara demi menyertai pasukan Sang Saka Biru.

"Selepas tamat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), Syafiq sambung belajar dua tahun di kolel itu sebelum berhenti untuk masuk polis. Dia memang berhasrat untuk menyambung kembali pengajiannya selepas itu,” katanya.

Iklan

Sementara itu, ibu mangsa Aini Mohd Shariff, 57, berkata, anaknya itu seorang yang patuh kepada ibu bapa dan kerap menelefon untuk bertanya khabar sejak mula bertugas di balai berkenaan tahun lepas.

"Raya baru ini arwah tak balik, tapi dia ada telefon sebab nak dekat hari jadi makcik. Arwah tanya nak makan apa nak belanja. Betul (belanja), kawan Syafiq ada datang rumah hantar makanan.

"Arwah juga berhasrat mendirikan rumah tangga tetapi mak cik nasihat tangguh dulu sebab baru kerja dan arwah bersetuju...arwah memang jenis ikut cakap mak. Kita sayang anak tapi Allah lebih menyayangi dia, mak cik reda," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!