‘UiTM kekal milik bumiputera kini, selamanya’ - Akmal Saleh

Iklan
Dr Muhamad Akmal - Foto: Bernama

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar cadangan membenarkan pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau berkata, telah termaktub dalam perlembagaan bahawa UiTM adalah milik bumiputera dan ia akan kekal sampai bila-bila.

Iklan
Iklan

"Takkan tiada doktor-doktor bumiputera,” katanya menerusi satu hantaran video di laman sosial Facebook pada Jumaat.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway Alumni UiTM - Institut Jantung Negara (IJN), Raja Amin Raja Mokhtar berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

Iklan

Susulan itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM membantah cadangan tersebut dengan berpakaian serba hitam sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Bagaimanapun, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, universiti berkenaan kekal dengan dasar pengambilan pelajar sedia ada serta fokus memperkasa bumiputera.

Iklan

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, jika ada doktor mahu melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan, masih ada universiti lain.

Menurutnya, secara dasar beliau tidak bersetuju sama sekali dengan cadangan membuka UiTM kepada bukan bumiputera.

"Kenapa nak kacau UiTM. Kita ada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) bagi dekat sana (boleh melanjutkan pengajian di sana).

"Jangan ganggu UiTM. UiTM mesti kekal milik bumiputera kini, dulu dan selamanya,” tegas Muhamad Akmal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!