Polis kesan waris lelaki maut kemalangan di Marang

Iklan
Keadaan mangsa dan kereta yang terlibat dalam kemalangan di KM20 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Rhu Muda, Marang pada awal pagi Khamis.

MARANG - Polis mengesan waris seorang lelaki yang maut dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Rhu Muda, di sini dalam kejadian awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa berkata, lelaki berusia lingkungan 60 tahun itu meninggal dunia selepas dipercayai terlibat kemalangan jalan raya sekitar jam 3.50 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Marang menerima laporan berkaitan kes kemalangan jalan raya melibatkan seorang pejalan kaki dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta tersebut dalam pejalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Dungun.

Iklan

"Ketika tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba seorang pejalan kaki berdiri di tengah-tengah laluan kereta.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa," katanya di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia jam 7.20 pagi.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Setakat ini identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri bersamanya.

"Kita mohon kepada sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat atau telah kehilangan ahli keluarga untuk berhubung dengan Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin di talian 013-9195738 bagi membantu siasatan," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!