Dua Ahli Dewan Negara angkat sumpah Senator hari ini

Iklan
Nur Jazlan (tengah) bersama Nelson (kiri) dan Robert Lau (kanan) selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dua Ahli Dewan Negara pada Khamis mengangkat sumpah jawatan di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mereka ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga merupakan Ketua Bahagian UPKO Beaufort, Datuk Nelson W Angang dan Timbalan Bendahari Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Robert Lau Hui Yew.

Iklan
Iklan

Pelantikan Nelson merupakan lantikan baharu, manakala Lau adalah lantikan semula yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk tempoh bermula hari ini hingga 15 Mei 2027.

Kedua mereka mengangkat sumpah sebagai Senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.

Iklan

Sementara itu, Nur Jazlan dalam ucapannya berkata, pelantikan kedua-dua Senator itu adalah sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka berdasarkan Perkara 45 Perenggan Dua Perlembagaan Persekutuan.

"Saya juga berharap mereka akan terus menyumbang untuk menjadikan Dewan Negara ini sebagai badan perundangan tertinggi negara.

Iklan

"Selamat menggalas amanah dan menjalankan tugas kepada kedua-dua Yang Berhormat Senator yang sudah mengangkat sumpah hari ini,” katanya.

Beliau berkata, Dewan Negara ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai badan perundangan bukan sahaja untuk menjalankan peranan semak dan imbang kepada eksekutif tetapi juga kepada Dewan Rakyat.

"Oleh itu, tanggungjawab utama Dewan Yang Mulia ini mestilah dilaksanakan dengan mengemukakan idea, pendapat dan cadangan yang bebas daripada sebarang pengaruh peribadi dan politik dalam pemilihan rang undang-undang (RUU) atau petisyen.

"Saya juga ingin menegaskan penting bagi setiap Ahli Dewan Negara untuk sentiasa sediakan penyelidikan awal yang komprehensif apabila hendak berbahas dan membuat pertimbangan dalam setiap aturan dan urusan Dewan Negara. Perbahasan Ahli Dewan Negara memainkan peranan penting dalam menilai RUU dan usul dibawa dari Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, platform media massa perlu digunakan dengan berkesan kerana rakyat wajar mengetahui kandungan bahan perbahasan Ahli Dewan Negara sekali gus mencerminkan kelayakan lantikan masing-masing yang sejajar dengan pengalaman, kepakaran dan profesionalisme mereka. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!