Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu disebut semula 27 Jun

Iklan
Seramai 13 remaja lelaki yang didakwa atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.

LAHAD DATU - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes 13 pelajar kolej vokasional di sini yang menghadapi pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Mereka yang berusia antara 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Iklan
Iklan

Prosiding di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dijalankan secara tertutup kerana kes itu melibatkan pesalah di bawah umur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao manakala tujuh daripada 13 remaja lelaki itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye dan Amirul Amin Rashid.

Iklan

Seorang lagi remaja diwakili peguam Abdul Gani Zelika manakala lima lagi tidak diwakili peguam.

Ram memberitahu pemberita bahawa laporan kimia serta bedah siasat kes itu masih belum siap dan 27 Jun ditetapkan untuk penyerahan dokumen.

Iklan

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan memfailkan jaminan untuk tujuh anak guamnya di Mahkamah Tinggi Tawau esok.

Pada 22 Mac lepas, Mohamad Nazmie Aizzat ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian tubuh di sebuah bilik asrama kolej itu.

Berikutan itu 13 pelajar kolej vokasional itu ditahan reman. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!