KPM umum enam inisiatif khas buat guru

Iklan
Fadhlina bersama Wan Rosdy (dua dari kanan) mengiringi Ahmad Zahid menyempurnakan gimik perasmian majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 2024 di SASICC di Kuantan pada Khamis.

KUANTAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan enam inisiatif khas buat para guru sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini pada Khamis.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, enam insiatif itu ialah Kursus Pemerkasaan Teknologi, Kursus 'Apple Teacher', Sijil Profesional Digital, Geran Penerbitan, Program Cuti-Cuti Cikgu dan Indeks Kesejahteraan Guru.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif itu bagi memperkasakan guru dan agenda guru digital pada masa akan datang.

"Bagi Kursus Pemerkasaan Teknologi, guru terpilih berpeluang untuk menyertai kursus itu dalam domain Kecerdasan Buatan (AI) daripada PIXLR.

Iklan

"Kursus dengan kos RM1 juta ini disasarkan kepada 500 guru terpilih seluruh negara bagi meningkatkan tahap pengetahuan dalam kecerdasan buatan dan menyokong pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) melalui kaedah digital," katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 2024 di sini.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Fadhlina berkata, KPM akan bekerjasama dengan Pakar Pembelajaran Profesional Apple Malaysia untuk melatih dan membimbing 100,000 guru untuk diiktiraf sebagai 'Apple Teacher'.

"Selain itu, 1,000 guru terpilih akan menghadiri kursus dan menerima Sijil Profesional Digital untuk diiktiraf sebagai Guru Jauhari Digital KPM.

"Bagi Program Cuti-cuti Cikgu (CCC) yang diperkenalkan sebelum ini diteruskan dengan penawaran pakej lebih menarik," katanya.

Beliau berkata, antara pakej ditawarkan adalah diskaun harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema melalui kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Dua geran penerbitan masing-masing bernilai RM10,000 akan diberikan kepada guru untuk menerbitkan penulisan berkenaan `Tokoh Guru Madani' dan `Tokoh Kepimpinan Madani'.

"Tawaran geran itu akan diberikan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang memenuhi kriteria ditetapkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)," ujarnya.

Sementara itu katanya, Indeks Kesejahteraan Guru akan dibangunkan bagi memastikan kesejahteraan guru sentiasa terpelihara.

"Ia adalah komitmen berterusan Kerajaan Madani terhadap golongan guru yang memainkan peranan penting mendidik generasi masa hadapan negara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!