Tablet percuma untuk murid, guru - TPM

Iklan
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2024, Masariah Mispari sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-53 di Dewan Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah (SASICC) pada Khamis.

KUANTAN - Kerajaan berhasrat menyediakan peranti tablet percuma kepada semua murid dan guru sekolah bagi menyokong usaha memperkasakan pembelajaran menggunakan kaedah sistem digital di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam menterjemahkan pelaksanaan kaedah pembelajaran baharu itu, peranti sesuai amat diperlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemberian tablet percuma itu boleh dilaksanakan walaupun kekangan kewangan menjadi faktor utama.

"Ia mungkin boleh dilakukan secara berfasa atau berperingkat berdasarkan kepada peruntukan yang ada.

Iklan

"Insya-ALLAH saya akan mendukung semua program yang telah dirancang Kementerian Pendidikan (KPM)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-53 di Dewan Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Ahmad Zahid berkata, pemberian tablet berkenaan amat signifikan dan selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Negara yang sedang giat dilaksanakan dan amat wajar bagi melaksanakan kaedah pembelajaran melalui sistem digital.

"Penyediaan peranti itu perlu dan tidak dapat dielakkan pada masa ini.

"Sistemnya telah ada dan kaedah pembelajaran dan pengajaran pedagogi digital telah disediakan KPM cuma sekarangnya adalah keperluan tablet," katanya.

Menurutnya, sekiranya inisiatif itu dapat dilaksanakan berfasa mulai tahun ini, dalam tempoh empat lima tahun akan datang majoriti pelajar dan murid-murid akan menerimanya.

"Walaupun tahun ini kerajaan memperuntukkan RM58.7 bilion kepada KPM, saya yakin bajet tahun hadapan akan ditambah bagi pembelian perkakasan bagi melaksanakan kaedah pembelajaran melalui sistem digital ini," katanya.

Beliau berkata, pihak KPM diharap dapat memberikan keutamaan kepada perkara itu agar kerja dan peranan guru sebagai 'Jauhari Digital' seperti mana tema Hari Guru tahun ini dipermudahkan.

"Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dana tambahan untuk pembekalan peranti ini dapat diluluskan seperti yang dipohon KPM," tambahnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!