Kemenangan BN isyarat positif di peringkat nasional

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sebagai isyarat positif terhadap agenda Muafakat Nasional yang semakin diterima rakyat.

Menurutnya, kemenangan di Sabah itu juga menunjukkan bahawa agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional yang dibawa oleh Muafakat Nasional semakin diterima rakyat pelbagai kaum dan mula merentasi Sabah serta Sarawak.

Iklan
Iklan

"Malah kekalahan berterusan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap budaya politik ekstrem dan fitnah melampau, selain kegagalan PH menunaikan janji dan membela kebajikan rakyat.

"Pas merakamkan setinggi penghargaan kepada para ahli dan petugas Pas yang membantu dalam kempen PRK ini dengan penuh kepatuhan, dan juga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari ini," katanya menerusi kenyataan rasmi di laman sosial Facebooknya sebentar tadi.

Iklan

Abdul Hadi turut mengajak Mohamad Alamin untuk bersama-sama membela kebajikan rakyat, mengangkat martabat Islam dan mengukuhkan agenda muafakat dengan sebaiknya di Parlimen.

BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis pada PRK kawasan itu dengan majoriti 2,029 undi setelah Mohamad Alamin, 48, memperoleh 12,706 undi manakala pencabarnya, Datuk Karim Bujang, 67, dari Parti Warisan Sabah (Warisan) meraih 10,677 undi.

Iklan

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kimanis, Jupari @ Jupry Etok yang juga Pegawai Daerah Beaufort, di pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun Banir pada jam 9.30 malam tadi.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.