Tumpahan minyak: Polis siasat unsur khianat

Iklan
Rakaman video tular memaparkan kemalangan beberapa buah kenderaan di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, di sini, kerana disebabkan permukaan jalan licin akibat tumpahan minyak.

KLANG - Polis melakukan siasatan sekiranya terdapat unsur khianat dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab susulan kemalangan beberapa buah kenderaan di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah dekat sini kerana disebabkan permukaan jalan licin akibat tumpahan minyak.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya terkesan satu klip video berkenaan kejadian terbabit yang tular di media sosial.

Iklan
Iklan

"Kejadian itu melibatkan beberapa buah kereta yang telah terbabas disebabkan permukaan jalan licin akibat daripada tumpahan minyak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hoong Fong berkata, lokasi kemalangan merupakan jalan sehala berselekoh dan mempunyai tiga lorong dengan kesan tumpahan minyak diesel di lorong paling kanan.

Iklan

Beliau berkata, sehingga kini, hanya terdapat seorang pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan terbabit hadir membuat laporan di Balai Polis Trafik, Klang Selatan.

"Kemalangan itu hanya melibatkan kerosakan kenderaan sahaja dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," ujarnya.

Iklan

Beliau berkata, tumpahan minyak itu telah dibersihkan oleh pihak penyelenggaraan dan jalan terbabit selamat digunakan oleh pengguna jalan raya.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa memandu kenderaan dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, kes telah disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan siasatan turut dijalankan dari sudut jenayah sekiranya terdapat unsur-unsur khianat dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik bagi membantu siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!