Jangan tunduk bantahan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam

Iklan
Cadangan pembinaan jalan baru Nusa Rhu ke Persiaran Setia Duta.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penduduk Taman Alam Budiman, Seksyen U10 di sini dan kawasan sekitarnya berharap kerajaan negeri tidak tunduk kepada desakan pihak yang membantah projek pembinaan jalan baharu dari Nusa Rhu ke Persiaran Setia Duta baru-baru ini.

Pengerusi penduduknya, Badrul Hisham Shahbudin berkata, projek itu penting bagi menyuraikan trafik di kawasan berkenaan terutama mengurangkan kesesakan yang terlalu kronik di Persiaran Pulau Lumut - Setia Alam kedua-dua arah.

Iklan
Iklan

Katanya, penduduk telah memohon pembinaan jalan alternatif sepanjang satu kilometer itu sejak lima tahun lalu sebelum diluluskan baru-baru ini.

Badrul Hisham

Iklan

"Sekarang pun sudah berjalan projek Rumah Selangorku membabitkan dua blok tidak termasuk lot kedai dijangka menyebabkan pertambahan sekurang-kurangnya 1,000 unit lagi.

"Dengan peningkatan penduduk ini kelak, jalan sedia ada tidak akan menampung pertambahan jumlah trafik jika tidak disediakan laluan alternatif," katanya pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan SAFC yang meminta kerajaan Selangor berhenti menggadaikan alam sekitar untuk tujuan pembinaan jalan alternatif baharu.

SAFC mendakwa pembinaan jalan baharu merentasi Hutan Komuniti Shah Alam itu bukan jalan penyelesaian kepada kesesakan trafik, malah menambah masalah sedia ada selain mengancam flora dan fauna.

Mengulas mengenai jalan baharu itu, Badrul Hisham berkata, sekiranya projek itu siap, ia akan melancarkan aliran trafik dan pengguna mempunyai dua alternatif melalui Persiaran Pulau Lumut dan Nusa Rhu untuk ke Setia Alam.

"Kawasan ini sedang membangun, jadi apabila bertambahnya rumah maka perlu disusuli dengan pembukaan jalan baharu.

Kesesakan di jalan Persiaran Pulau Lumut - Setia Alam ketika ini semakin kronik disebabkan jumlah kenderaan yang bertambah.

"Jika benar tak mahu projek jalan ini diteruskan maka jangan ada projek pembangunan perumahan dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Daniel Lim, 56, berkata, kebanyakan mereka yang membantah projek tersebut merupakan orang luar yang datang ke kawasan tersebut untuk aktiviti pendakian.

"Kalau jalan ini membawa kebaikan kepada pengguna kenapa kita perlu halang? Mereka yang bantah ini datang dari tempat lain dan bukan duduk di sini.

"Mereka hanya datang untuk riadah kemudian balik, jadi mereka tidak tahu masalah dihadapi penduduk di sini," katanya.

Dakwanya, ada pihak yang memintanya menandatangani petisyen untuk membantah projek berkenaan namun dia tidak berbuat demikian kerana mahu projek ini diteruskan.

"Kalau jalan baharu ini tidak dibina, kami penduduk di sini yang akan terima kesannya.

"Baru-baru ini ada kejadian lori terbalik di jalan utama kami yang mengambil masa dua hari untuk dialihkan.

"Jika kita hanya bergantung kepada satu akses jalan sahaja, bagaimana kita mahu keluar dari taman perumahan ke Shah Alam, akses jalan baharu adalah penyelesaiannya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!