Ringgit ditutup tinggi hari ketiga berturut-turut

Iklan
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7160/7190 berbanding dolar AS daripada 4.7270/7320 semasa ditutup pada Isnin. Gambar hiasan

RINGGIT ditutup tinggi pada Selasa berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketiga berturut-turut menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS lewat malam ini.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7160/7190 berbanding dolar AS daripada 4.7270/7320 semasa ditutup pada Isnin.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sejak mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS berakhir pada 1 Mei, ringgit telah menunjukkan prestasi baik berikutan jangkaan kenaikan kadar AS yang seterusnya adalah belum pasti.

"Seterusnya, kelemahan dalam pasaran buruh AS baru-baru ini membawa kepada harapan baharu terhadap penurunan kadar, memberikan sokongan selanjutnya kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit.

Iklan

"Bagaimanapun, situasi masih tidak menentu berikutan pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS masih bimbang mengenai trajektori aliran disinflasi (ke arah) sasaran dua peratus,” katanya kepada Bernama.

Selain data IHPR, pasaran turut mempertimbang laporan Indeks Harga Pengguna AS yang dijadualkan esok.

Iklan

Ringgit diniagakan lebih tinggi pada penutupan dagangan berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0161/0182 daripada 3.0325/0359 semasa ditutup pada Isnin, menambah berbanding pound Britain kepada 5.9158/9195 daripada 5.9215/9278 dan menokok berbanding euro kepada 5.0900/0359.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4848/4873 daripada 3.4919/4959 semasa ditutup pada Isnin, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 292.7/293.3 daripada 293.9/294.4 dan kukuh berbanding peso Filipina kepada 8.15/8.16 daripada 8.17/8.18 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.8596/8730 daripada 12.8388/8583 sebelumnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!