KPDN perluas SKDS 2.0 libatkan 14 jenis kenderaan barangan

Iklan
Armizan

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal memperluaskan pelaksanaan 2.0 Fasa II Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melibatkan 14 jenis kenderaan barangan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kenderaan barangan yang disenaraikan adalah lori rigid-curtainsider, lori rigid-hasil pertanian, lori rigid-kandang haiwan, lori rigid-kombinasi, lori rigid-open platform, bas katering makanan dan van katering makanan.

Iklan
Iklan

Katanya, selain itu turut tersenarai adalah lori katering makanan, lori tangki rigid-minuman, semi-panel van, bas perkhidmatan bergerak, van perkhidmatan bergerak, lori rigid-perkhidmatan bergerak dan lori rigid-sampah.

"Syarikat pengangkutan yang terlibat boleh membuat permohonan melalui Sistem MySubsidi Diesel bermula pada 13 Mei (Isnin) jam 10 pagi," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan KPDN Zon Utara di Anak Bukit di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, pendaftaran bagi 14 jenis kenderaan terbabit boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

"Antara kriteria-kriteria permohonan yang perlu dipenuhi oleh syarikat adalah syarikat hendaklah berdaftar perniagaan di Malaysia; kenderaan mempunyai cukai jalan yang sah dan berkuat kuasa serta kenderaan terbabit layak di bawah SKDS 2.0," katanya.

Armizan (tengah) bergambar bersama kakitangan KPDN ketika Perhimpunan Bulanan KPDN Zon Utara di Anak Bukit di sini pada Ahad.

Iklan

Jelas Armizan, pertambahan dalam fasa II ini menjadikan keseluruhan kenderaan barangan yang layak untuk mendapatkan diesel bersubsidi di bawah SKDS 2.0 adalah sebanyak 23 jenis kenderaan barangan.

"Pada masa yang sama, KPDN masih terus membuka permohonan kepada kesemua jenis pengangkutan yang tersenarai dalam pelaksanaan SKDS 1.0 dan kedua-dua fasa dalam SKDS 2.0.

"Syarikat-syarikat yang telah mendapat kelulusan di bawah SKDS juga dinasihati untuk terus membuat permohonan kad fleet melalui syarikat-syarikat minyak pilihan yang tersenarai," katanya.

Menurutnya, setelah permohonan diluluskan di peringkat sistem MySubsidi diesel, pihak syarikat diharap dapat segera mengemukakan pula permohonan kad fleet di lima syarikat minyak ditetapkan iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP.

"Bagaimanapun mereka hanya boleh memilih tiga daripada lima syarikat minyak yang disenaraikan untuk mendapatkan kad fleet," katanya.

Jelasnya, sebelum ini dalam pelaksanaan SKDS 2.0 fasa I, sembilan jenis kenderaan terlibat iaitu lori rigid-kargo am, penggerak utama, lori rigid-luton/kotak, lori rigid-tangki air, lori rigid-refrigerated, lori rigid-tangki tepung, window van, panel van dan lori rigid-minuman botol.

"Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkenaan perkara tersebut boleh hubungi Pusat Panggilan Sistem MySubsidi Diesel di talian 03-8882 6769 bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang pada hari bekerja," katanya.