'Ayahanda' ketuai pertubuhan haram ditahan

Iklan
Antara individu yang ditahan dipercayai terlibat dalam sebuah pertubuhan haram dalam serbuan di kawasan gerai di Inanam Point, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Seorang lelaki dipercayai ketua sebuah pertubuhan haram bergelar 'Ayahanda' antara individu yang ditahan dalam Op Cantas (Gengsterisme) di kawasan gerai di Inanam Point, Jalan Tuaran, di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.10 malam itu, seramai 14 lelaki berusia antara 22 hingga 49 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan dibantu anggota Balai Polis Inanam.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis, Azmi Abd Rahim berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka mendakwa sebagai ahli Pertubuhan Amal Nusantara Bersatu Sabah (ANB).

"Bagaimanapun, semakan pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mendapati logo yang digunakan oleh pertubuhan itu adalah tidak berdaftar.

Iklan

"Selain itu, didapati wujud unsur-unsur kumpulan Double 7 yang diwartakan sebagai pertubuhan haram pada 2013," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Katanya lagi, operasi itu juga turut menahan seorang lelaki yang dipercayai sebagai ketua pertubuhan ANB Bersatu di Sabah dengan gelaran 'Ayah Abu Nilam Bersatu'.

Senjata api mainan menyerupai pistol C15, pisau dan samurai antara yang dirampas dalam serbuan tersebut.

Iklan

"Dalam serbuan itu turut dirampas sepucuk senjata api mainan menyerupai pistol C15, sebilah pisau pemotong daging bersama sarung serta pedang samurai.

"Selain itu, rampasan membabitkan 20 keping pelekat tertera logo kumpulan, kad ahli, 12 telefon bimbit dan empat kereta pelbagai jenis tertera pelekat pertubuhan ANB dan kumpulan Double 7," katanya.

Azmi turut berkata, siasatan juga mendapati pertubuhan itu kini mempunyai seramai 100 ahli di sekitar bandar raya ini, Kota Belud, Ranau, Semporna dan Sandakan.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!