PRK KKB: Peratusan keluar mengundi setakat jam 11 pagi 26 peratus

Iklan
Azmi (dua dari kanan) ketika meninjau proses undi di SMK Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.

HULU SELANGOR - Peratusan jumlah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu setakat jam 11 pagi, masih rendah.

Timbalan Pengerusi Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, jumlah peratusan mengundi merekodkan sebanyak 26 peratus.

Iklan
Iklan

"Akses untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas juga baik," katanya kepada pemberita ketika meninjau prosea mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Baharu di sini pada Sabtu.

Sementara itu, ditanya mengenai sasaran 70 peratus keluar mengundi, beliau berkata ia bergantung kepada situasi semasa.

Iklan

"Kalau kita lihat masa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini peratusan keluar mengundi hanya 67 peratus dan biasanya PRK angkanya lebih rendah.

"Tapi siapa tahu mungkin 70 peratus itu dapat dicapai. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan proses hari ini," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Azmi turut melahirkan keyakinan proses penjumlahan undi akan berjalan lancar, sekali gus membolehkan keputusan dapat diketahui dengan lebih cepat seawal jam 9 malam ini.

Pengundi awal Selasa lalu menyaksikan hampir 100 pengundi yang terdiri polis, tentera dan pasangan mereka keluar mengundi.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Seramai 39,269 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih DUN Kuala Kubu Baharu.

Kesemua 18 pusat pengundian yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang.

Bagaimanapun, pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi ditutup pukul 2 petang

Proses pengiraan undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dekat Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baharu di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!