'United sudah hilang seri'

Iklan
Yorke (kanan) dan Cole membantu United meraih gelaran treble pada edisi 1999. Foto Agensi

LEGENDA Manchester United, Dwight Yorke menyifatkan skuad The Red Devils sudah hilang daya penarik susulan kemerosotan prestasi pasukan itu sejak beberapa tahun ini.

Malah bekas pemain berusia 52 tahun itu akan berfikir banyak kali untuk menyertai skuad kendalian Erik ten Hag terebut.

Iklan
Iklan

Yorke yang menyertai United di awal musim treble 1998-99 dari Aston Villa menganggap keunikan kelab berkenaan kian pudar dan sukar untuk memikat nama-nama besar dunia.

"Saya rasa orang mula berfikir dua kali sama ada mahu menyertai United atau tidak.

Iklan

"Sekarang pemain-pemain jadi tidak pasti. Ia bukan petanda yang baik. Saya sendiri tidak mahu bermain," kata Yorke.

Cole (kanan) dan Yorke ditemubual untuk dokumentari mengenai wira-wira treble United pada tahun 1999 yang akan ditayangkan minggu depan. Foto EPA

Kekalahan 0-4 kepada Crystal Palace pada Isnin meletakkan mereka hanya pada 54 mata selepas 35 perlawanan - bakal menjadi kempen Liga Perdana Inggeris terburuk kelab itu.

Iklan

Pandangan sama turut dikongsi bekas rakan sepasukan Yorke, Andy Cole yang kecewa dengan kemerosotan prestasi United sejak beberapa tahun lalu.

"Memang sukar kerana saya tidak pernah melihat United berada dalam situasi ini (kemerosotan prestasi).

"Semasa zaman saya, kami meninggalkan legasi yang membuatkan pemain-pemain baharu mahu datang ke Old Trafford dan cuba melakukan perkara sama.

"Apabila melihat skuad sekarang dan pasukan-pasukan sebelum ini, saya garu kepala kerana anda perlu faham apa itu Manchester United.

"Ia tentang kemenangan, perjuangan dan bersaing untuk kejuaraan utama, terutama dalam perlawanan domestik," ujar Cole.

Yorke dan Cole ditemubual untuk dokumentari mengenai wira-wira treble United pada tahun 1999 yang akan ditayangkan minggu depan.

Sebagai pemain, gandingan Yorke dan Cole menjelmakan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala Fa dan Kejuaraan Eropah buat United.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!