Maritim tahan sembilan kru bot warga Myanmar langgar syarat lesen

Iklan
Antara bot nelayan tempatan yang ditahan setelah kru warga Myanmar disyaki melanggar syarat lesen.

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan dua bot nelayan tempatan bersama tekong dan sembilan kru warga Myanmar setelah disyaki melanggar syarat lesen.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot berkenaan ditahan di dua lokasi berbeza pada petang Rabu dan pagi Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Sebuah bot dinaiki lima kru ditahan pada kedudukan 33.5 batu nautika tenggara muara Kuala Terengganu sekitar jam 5.20 petang sementara sebuah lagi ditahan di 18.5 batu nautika timur muara Kuala Kemaman sekitar jam 11.30 pagi.

Antara kru dan tekong bot yang ditahan oleh Maritim Malaysia Terengganu selepas didapati melanggar syarat sah lesen.

"Bot peronda Maritim yang melakukan rutin operasi di sekitar perairan Kuala Terengganu dan Kemaman memeriksa dua bot nelayan tempatan di dua lokasi berbeza dan didapati sembilan orang kru warga Myanmar memiliki pas lawatan kerja sementara tamat tempoh.

Iklan

"Kru bot disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel.

"Mereka juga didapati melanggar Akta Imigresen 1959 kerana berada di Malaysia secara menyalahi undang-undang iaitu selepas tamat tempoh mana-mana pas berkaitan atau yang dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini Khamis malam.

Antara kru dan tekong bot yang ditahan selepas didapati melanggar syarat lesen dengan tinggal di Malaysia melebihi tempoh masa.

Iklan

Jelas beliau, jika didapati bersalah kru bot berkenaan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

"Dua bot dan kru masing-masing dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu dan jeti Zon Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.

"Maritim Terengganu akan meningkatkan penguatkuasaan sekitar perairan negeri bagi membanteras salah laku jenayah di laut dan pencerobohan bot nelayan asing," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!