Peniaga ketam ditahan kasari penguat kuasa MBPP

Iklan
Video berhubung kejadian tersebut tular di media sosial sejak pagi Khamis.

GEORGE TOWN - Dua peniaga ketam ditahan untuk membantu siasatan berhubung pergaduhan dengan penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang dalam kejadian pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kedua-dua peniaga berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk membuat laporan.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua peniaga itu ditahan pada petang tadi (Khamis) selepas mereka hadir membuat laporan polis. Kita juga menerima laporan daripada penguat kuasa MBPP berhubung kejadian berkenaan.

"Polis akan mendapatkan perintah reman di mahkamah esok untuk kedua-dua peniaga berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Tambah beliau, dalam kejadian 9.20 pagi itu, peniaga berkenaan bertindak kasar terhadap penguat kuasa MBPP yang membuat pemeriksaan lesen berniaga di Pasar Awam Jelutong.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, penguat kuasa MBPP mendapati peniaga tersebut tidak mempunyai lesen. Difahamkan, peniaga tersebut telah diberi amaran sebelum ini kerana tidak mempunyai lesen berniaga.

Iklan

"Ketika pemeriksaan itu, berlaku pertengkaran mulut dan provokasi sebelum peniaga berkenaan bertindak agresif dengan menumbuk penguat kuasa di bahagian muka," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!