Kampung Orang Asli Kerling lokasi pertama POC satelit Starlink di Malaysia

Iklan
Nie Ching (kanan) ketika meninjau tapak projek POC Starlink' di Menara Kampung Orang Asli, Kerling hari ini. - Foto: Bernama

HULU SELANGOR - Kampung Orang Asli Kerling menjadi lokasi pertama di negara ini yang menjalankan pembuktian konsep (POC) Starlink, sebagai alternatif kepada gentian optik bagi capaian talian telekomunikasi yang lebih baik.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pemilihan Starlink sebagai sambungan teras ke menara Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di kampung berkenaan, dilakukan memandangkan terdapat kesukaran untuk melakukan pemasangan gentian optik.

Iklan
Iklan

"Kita lihat ada keperluan untuk selesaikan segera isu perkhidmatan telekomunikasi ini dan ada alternatif Starlink dengan kos munasabah berserta kelajuan yang memuaskan, iaitu sekitar 45 Mbps hingga 56 Mbps.

"Jadi kita jadikan ia (sebagai) projek rintis di sini dengan pemasangan dua satelit,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas meninjau pengoperasian dua satelit Starlink di Kampung Orang Asli Kerling, yang terletak kira-kira 18 kilometer daripada pekan Kuala Kubu Baharu.

Iklan

Turut hadir, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya.

Nie Ching berkata, keberkesanan pelaksanaan POC itu akan dipantau MCMC, sebelum diperluaskan ke lokasi lain terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Iklan

"Perkhidmatan ini akan memudahkan urusan harian penduduk bagi tujuan komunikasi, pendidikan dan lain-lain dengan tawaran perkhidmatan telekomunikasi, antaranya daripada syarikat telco utama iaitu CelcomDigi, Maxis dan U Mobile,” katanya.

Pada 4 Mei, MCMC dalam kenyataan memaklumkan langkah menjalankan POC Starlink sebagai alternatif kepada gentian optik, diambil susulan terdapat keperluan kepada perkhidmatan telekomunikasi di perkampungan tersebut.

Menurut MCMC pengaktifan menara itu memberi manfaat kepada lebih 250 masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!