Polis buka kertas siasatan kejadian samun pengajar pelaburan Forex

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan kejadian samun melibatkan individu menyamar sebagai anggota polis di sebuah restoran di Kuantan.

KUANTAN - Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian samun terhadap seorang pengajar pelaburan Forex oleh beberapa individu yang menyamar sebagai anggota polis di sebuah restoran di Jalan Wong Ah Jang, di sini minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada 10 malam Khamis lepas.

Iklan
Iklan

"Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 kanun sama kerana melakukan samun berkawan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau meminta individu yang melihat dan mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Iklan

"Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dalam kenyataan berasingan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang apabila mangsa yang berusia 24 tahun bersama teman wanitanya didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang memakai penutup muka dan bertopi.

Beliau berkata, kesemua suspek yang menaiki kereta Perodua Bezza menggunakan nombor pendaftaran palsu itu telah memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menarik mangsa ke dalam kenderaan mereka dan beredar dari kawasan itu.

"Menurut mangsa, kepalanya telah ditutup dan dia dibawa ke sebuah premis yang tidak diketahui. Pada 1.30 pagi keesokannya, mangsa telah dibawa dan ditinggalkan di kawasan perkuburan Cina di kawasan Bukit Ubi, di sini dalam keadaan kepala masih bertutup.

"Mangsa kemudian berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan rakannya," katanya.

Susulan kejadian itu, Yahaya berkata mangsa kerugian berjumlah RM18,000 dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan kes berkenaan dari segenap aspek.

Terdahulu, tular video berdurasi 42 saat menerusi media sosial memaparkan kejadian samun melibatkan individu menyamar sebagai anggota polis di sebuah restoran di sini. - Bernama

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!