Cabar siasatan SPRM: Mahkamah Rayuan tolak permohonan Daim, keluarga

Iklan
Tun Daim dan keluarganya gagal dalam rayuan untuk mendapatkan kebenaran meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar siasatan SPRM. Foto fail Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya pada Khamis gagal dalam rayuan mereka untuk mendapatkan kebenaran meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung hal ehwal kewangan mereka.

Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara menolak rayuan Daim dan keluarganya itu, bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman atas alasan penyiasatan jenayah, tidak sesuai untuk ulasan kehakiman.

Iklan
Iklan

"Oleh sebab itu, mahkamah menolak permohonan pemohon tanpa sebarang arahan mengenai kos,” kata Hakim Azizah.

Pada 4 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Daim dan keluarganya untuk semakan kehakiman selepas memutuskan bahawa mereka gagal membuktikan terdapat unsur mala fide (niat jahat) terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.

Iklan

Daim, 85, isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, dan empat anak mereka - Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25 - serta Ilham Tower Sdn Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 10 Jan dan menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai responden.

Hakim Azizah ketika menyampaikan penghakiman berkata, tindakan dan keputusan pihak berkuasa awam dalam melaksanakan kuasanya dalam mahkamah jenayah tidak terbuka untuk dicabar melalui semakan kehakiman.

Iklan

"Jika rayuan itu dibenarkan, ia akan mendedahkan siasatan jenayah oleh semua agensi penguat kuasa di negara ini kepada semakan kehakiman yang tidak berkesudahan," katanya.

Hakim Azizah berkata, aduan yang dibangkitkan Daim, boleh dibangkitkan ketika perbicaraan kes atau dengan mengemukakan permohonan untuk membatalkan pertuduhan.

"Jadi tidak boleh dikatakan bahawa sesuatunya pilihan yang ada ialah melalui semakan kehakiman, kerana keabsahan pertuduhan boleh dicabar dalam perbicaraan kes jenayah," katanya.

Menerusi permohonan itu, pemohon mendakwa pada 30 Disember 2023, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.

Daim berkata, Kertas Pandora ialah fail sulit yang bocor pada 2021 yang mendedahkan nama-nama pemilik syarikat luar pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia dan kesemua fail tidak menunjukkan sebarang salah laku beliau dan keluarganya.

Daim dan keluarganya memohon antara lain perintah mahkamah supaya SPRM dan para pegawainya membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap pemohon dari Februari 2023 sehingga kini, serta membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden manakala peguam Tan Sri Tommy Thomas mewakili Daim dan keluarganya. - Bernama