'Harumanis Perlis tidak boleh ditandingi mana-mana negeri'

Iklan
Mangga harumanis keluaran Perlis mempunyai keunikan tersendiri dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negeri.Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Shukri

KANGAR - Mangga harumanis keluaran Perlis mempunyai keunikan tersendiri dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negeri.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, reputasi Perlis sebagai pengeluar buah mangga harumanis utama dalam negara sukar digugat termasuk Kedah yang baharu berjinak-jinak mengusahakan tanaman berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa harumanis keluaran Kedah mula mendapat perhatian dan permintaan, namun Mohd Shukri yakin harumanis Perlis tetap menjadi pilihan utama penggemar buah tersebut.

"Saya ingat Sanusi ni berangan, mangga harumanis Perlis tidak boleh ditandingi mana-mana negeri pun, insya-ALLAH, kerana ia mempunyai rasa tersendiri.

Iklan

"Selain itu, cuaca dan tanah di Perlis juga amat sesuai untuk tanaman mangga jenis ini berbanding di tempat lain,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Pejabat Menteri Besar, Pejabat Speaker dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, pada Rabu.

Mohd Shukri turut membidas kenyataan Muhammad Sanusi yang membuat kenyataan seakan-akan kualiti harumanis Kedah yang dikenali sebagai Harumanis D’Aman jauh lebih baik berbanding keluaran Perlis.

Iklan

"Sebab itu apabila Sanusi mengatakan mangga harumanis dari negerinya sudah jauh meninggalkan mangga harumanis Perlis hingga 80 tiang atau berapa puluh tiang sekalipun, saya rasa itu angan-angan beliau sahaja," katanya.

Pada 5 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah yakin akan muncul sebagai pengeluar utama mangga harumanis di negara ini selepas negeri itu memperluaskan tanaman buah tersebut.

Muhammad Sanusi berkata, Harumanis Kedah yang dijenamakan semula sebagai Harumanis D’Aman semakin popular dan mendapat perhatian dan diyakini mampu mengatasi Harumanis Perlis pada masa akan datang.

Malah katanya, harumanis Kedah berpeluang mendominasi pasaran mangga dalam masa terdekat meskipun baru dilancarkan tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohd Shukri percaya perbezaan ketara yang terdapat pada mangga harumanis Perlis disebabkan ketahanan buah berkenaan yang tinggi dan mampu bertahan ketika cuaca panas yang lazim di Perlis.

"Harumanis Perlis rasanya lebih manis dan berbau harum, sesiapa yang cuba membawa balik benih mangga ini untuk ditanam di negeri lain, hasilnya tidak sama, rasa manis dan keharuman tidak sama berbanding yang ditanam di sini.

"Ini kerana muka bumi Perlis yang berbukit dan cuacanya lebih kering sesuai dengan tanaman harumanis, ini anugerah ALLAH SWT yang tidak terhingga kepada negeri ini," katanya.

Sementara, Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perlis, Razali Saad memaklumkan, kapasiti penanaman harumanis Perlis sudah mencecah 1,700 hektar berbanding di Kedah dengan keluasan lebih 100 hektar sahaja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!