Kumpulan pertama 282 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci tengah malam ini

Iklan
Para jemaah haji wanita kumpulan pertama melambaikan tangan sebelum berlepas ke tanah suci pada 12.05 malam ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam Rabu. Foto Bernama

SEPANG - Kumpulan pertama yang terdiri daripada 282 jemaah haji Malaysia bakal berlepas ke Tanah Suci pada tengah malam ini dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Penerbangan Malaysia Airlines MH8050 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke Madinah itu akan berlepas pada jam 12.05 tengah malam dan dijangka tiba di Lapangan Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 3.50 pagi esok waktu tempatan.

Iklan
Iklan

Majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji dari Kelantan dan Kedah itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Mohd Na'im dalam kenyataan sempena majlis pelepasan jemaah haji itu mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri selain mengikuti nasihat pihak TH supaya semua amalan haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Iklan

"Saya mewakili pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perjalanan bakal haji dipermudahkan ALLAH SWT dan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna," katanya.

Sementara itu, Syed Hamadah dalam kenyataan sama berkata, pada tahun ini, sebanyak 100 penerbangan sewa khas haji menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci.

Iklan

"TH telah membuat perancangan dan persiapan rapi sejak tamatnya operasi haji tahun lepas lagi sebagai usaha memastikan kelancaran urusan jemaah Malaysia ketika menunaikan ibadat haji tahun ini," katanya.

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula 9 Mei, manakala penerbangan terakhir pada 9 Jun ini.

Tahun ini, hari Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah yang dijangka pada Sabtu, 15 Jun. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!