MBJB bantu kesan suspek pecah cermin kereta Safiq Rahim

Iklan
Laporan Sinar Harian.

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sedia membantu polis untuk mengesan dua suspek yang memecahkan cermin kereta pemain pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim pada malam Selasa.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, MBJB memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kebanyakan jalan utama dan lokasi strategik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, diharap rakaman CCTV itu dapat membantu polis menjejaki dua suspek berkenaan.

"Kita memang ada perjanjian dengan polis setiap kali mereka memerlukan bantuan dari aspek pemantauan CCTV bagi membantu menjalankan siasatan terhadap apa-apa kes yang berlaku.

Iklan

"Tidak dinafikan ada beberapa kawasan 'blind spot' (titik buta) di bandar raya ini, namun kebanyakan jalan utama kita sepatutnya ada CCTV berhampiran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Mutiara Aidilfitri MBJB di Arena Larkin, di sini pada Rabu. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Iklan

Pada Selasa, Safiq Rahim memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan individu tidak dikenali menggunakan tukul besi.

Safiq melaporkan kejadian itu berlaku ketika beliau sedang memandu meninggalkan pusat latihan JDT di Jalan Sri Gelam menghala ke arah Pantai Lido pada jam 10.05 malam tadi.

Pemain berusia 36 tahun itu merupakan pemain kebangsaan ketiga yang dilaporkan diserang individu tidak dikenali selepas pemain sayap negara, Faisal Halim disimbah asid dan seorang lagi pemain JDT, Akhyar Rashid disamun dan diserang di kawasan kediamannya.

Sementara itu, beliau berkata, MBJB mengambil pengajaran insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur yang menyebabkan kematian pada petang Selasa.

Mohd Noorazam berkata, pihaknya akan memastikan bahagian arborikultur menjalankan kerja kawal selia dan penyelenggaraan landskap secara berkala khususnya bagi pokok warisan, pokok yang berusia lebih 30 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!