PHB bentuk entiti pengurusan aset inovatif, sasar dana pelaburan RM20b AHB menjelang 2030

Iklan
(Dari kiri) Pengurus Besar Strategi Korporat PHB, Muhammad Zikri Kamardin; Mohamad Damshal dan Pengurus Besar Kanan Kewangan PHB, Kusuma Dewi Abd Aziz ketika sidang akhbar pada Majlis Pengumuman Penubuhan PHBAM di Dataran PHB, di sini pada Selasa.

SHAH ALAM - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) menubuhkan PHB Asset Management Berhad (PHBAM) sebagai entiti baharu pengurusan pelaburan inovatif serta penyelesaian kewangan sebagai langkah strategik syarikat itu dalam sektor hartanah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, penubuhan PHBAM itu turut berupaya meningkatkan lagi pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor hartanah komersial.

Iklan
Iklan

"Dengan portfolio yang terdiri daripada 25 aset hartanah bernilai RM10 bilion dan skim pelaburan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak RM5 bilion, PHB akan membawa kepakaran industri yang meluas untuk terus berkembang serta berinovasi dalam pembangunan dana hartanah.

"PHBAM merancang penyelesaian strategik bersepadu bagi solusi kewangan untuk memacu pembangunan sosial dan ekonomi bumiputera dengan sasaran meningkatkan skim pelaburan AHB daripada RM5 bilion kepada RM20 bilion menjelang 2030," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Pengumuman Penubuhan PHBAM, di sini pada Selasa.

MOHAMAD DAMSHAL

Tambah Mohamad Damshal, sasaran itu bakal dilaksanakan menerusi strategi edaran digital untuk akses lebih luas dan mudah kepada komuniti bumiputera yang kurang pendedahan mengenai skim pelaburan AHB.

Iklan

Ujarnya, AHB mampu menjamin kewangan dan pemerkasaan pelaburan dalam kalangan bumiputera serta pemegang kepentingan syarikat menerusi PHBAM.

"Kami menjangkakan PHBAM akan menjadi sebuah syarikat pengurusan dana yang berinovasi, menyediakan akses terus kepada pendapatan konsisten dan stabil kepada bumiputera sambil memenuhi kepelbagaian keperluan kewangan,” jelasnya.

Malah, PHBAM telah pun menerima Lesen Perkhidmatan Pasaran Global daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 22 April lalu bagi pengurusan dana dan urus niaga dalam sekuriti bagi unit amanah.

Dalam pada itu, Mohamad Damshal berkata, PHBAM telah bersedia daripada segi kewangan dan pengoperasian bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan produk pelaburan serta penyelesaian kewangan kepada AHB.

Malah, anak syarikat itu digerakkan melalui penggabungan sistem teknologi serta sumber manusia berpengalaman dan cekap dalam pasaran modal kewangan.

"Pada masa sama, PHBAM turut menawarkan manfaat kewangan lain seperti takaful, wakaf dan unit amanah selain menguruskan hartanah atau aset pelanggan,” ujarnya.