Faisal Halim dijangka lalui prosedur graf kulit minggu ini

Iklan
Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada Ahad.

SHAH ALAM - Lapisan kulit yang akan digunakan dalam prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tahap empat dialami pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim yang cedera disimbah asid dibawa masuk dari luar negara minggu ini.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata, ia sebahagian daripada prosedur untuk membantu dan mempercepatkan pemulihan kulit.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, prosedur pembedahan itu dijangka dilakukan minggu ini khusus untuk merawat lapisan kulit pemain berusia 26 tahun itu yang terjejas sementara dari aspek kecederaan yang dialami di bahagian otot pula akan dilakukan dalam sesi pemulihan berikutnya.

"Mengikut pakar bedah prosedur itu (dibuat) dalam minggu ini, akan ada (juga) prosedur lanjutan. Ia (lapisan kulit) memang perlu dibawa masuk,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini pada Selasa.

Iklan
Terdahulu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Selangor FC, meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menziarahi Faisal yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pagi ini.

Faisal Halim dilaporkan berada dalam keadaan amat positif pagi ini selepas menjalani pembedahan kali kedua di sini, semalam.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Iklan

Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.

Pemain yang memenangi gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi selama minimum lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu apabila cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!