Pelantikan Pengerusi SPA diputuskan dalam masa terdekat - KSN

Iklan
Mohd Zuki ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Santapan Rumah Terbuka Madani Aidilfitri, pada Rabu.

PUTRAJAYA - Pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali kepada pemberita pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Yang itu kena tunggu, bawa ke mesyuarat Majlis Raja-Raja dan diputuskan," katanya selepas menghadiri Majlis Santapan Rumah Terbuka Madani Aidilfitri, di sini pada Rabu.

Tan Sri Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Pengerusi SPA pada 25 Julai 2018 sebelum menamatkan perkhidmatan 24 Julai tahun lalu.

Iklan

Kekosongan hampir 10 bulan itu mendorong semua mesyuarat SPA melibatkan pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan penjawat awam dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Seri Jalil Marzuki.

Bagaimanapun, bagi urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan kawalan tatatertib anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan, Pengerusi SPA hendaklah menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

Sementara itu, ditanya mengenai kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan berhubung perkara itu.

"Saya akan tanya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Azam, 61, bersara wajib pada Mei tahun lalu dan disambung kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya bagi tempoh setahun yang berakhir Ahad ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!