Terengganu adakan solat sunat Istisqa di seluruh masjid Jumaat ini

Iklan
JHEAT meminta setiap masjid di negeri itu mengadakan solat sunat Istisqa selepas solat Jumaat minggu ini. Foto hiasan/Bernama

KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) meminta setiap masjid di negeri itu mengadakan solat sunat Istisqa berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M Rozi Bidin berkata, solat sunat bagi memohon hujan itu akan dilaksanakan selepas solat Jumaat minggu ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hebahan mengenainya telah dimaklumkan menerusi surat rasmi dikeluarkan pada Ahad kepada semua pengerusi jawatankuasa masjid melibatkan lapan daerah di negeri tersebut.

"Kita telah meminta supaya semua 510 masjid di Terengganu untuk mengadakan solat sunat Istisqa susulan keadaan cuaca panas yang melanda di beberapa kawasan di negara ini termasuk di Terengganu.

Iklan

"Justeru kita memohon kerjasama untuk setiap jawatankuasa masjid menghebahkan kepada ahli kariah masing-masing supaya dapat melaksanakan solat sunat tersebut pada 10 Mei selepas solat Jumaat," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah dijangka terus mengalami cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius secara berterusan bagi tempoh kira-kira tiga bulan lagi.

Iklan

Keadaan itu berlaku susulan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia ketika ini.

Baru-baru ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu turut melaporkan terdapat lima kes strok haba dan kelesuan haba berlaku di Terengganu.

Mangsa terdiri daripada dua anggota keselamatan, seorang pelajar sekolah, seorang pekerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan seorang warga emas telah dimasukkan ke hospital akibat terkena strok haba dan kelesuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!