'Saya berlari untuk selamatkan mangsa dihempap pokok'

Iklan
Muhammad Tariq (kanan) menunjukkan lokasi kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR -"Saya berlari untuk selamatkan mangsa yang dihempap pokok, tetapi tidak lama kemudian dia tidak sedarkan diri," kata saksi kejadian pokok tumbang, Muhammad Tariq Haikal, 24.

Menurut ejen hartanah itu, ketika kejadian dia berada di bangunan berhampiran lokasi sebelum berlari keluar untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Iklan
Iklan

"Saya cuba untuk menyelamatkan mangsa daripada terus dihempap dahan pokok, namun gagal kerana terlalu berat.

"Kejadian berlaku begitu pantas, saya lihat mangsa masih hidup ketika itu, tetapi kira-kira lima minit kemudian dia tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Iklan
Kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, pada Selasa mengakibatkan 17 kenderaan terjejas.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Adey Iskandar Jalaluddin, 40-an, berkata, dia mendengar dentuman yang kuat sebelum melihat sebatang pokok tumbang menghempap beberapa kenderaan.

Pegawai bank itu berkata, ketika kejadian dia berada di dalam pejabat berhampiran lokasi.

Iklan

Terkejut dengan kejadian itu, katanya, dia segera keluar dari bangunan pejabat untuk ke lokasi dan melihat orang awam sedang membantu mengeluarkan beberapa mangsa di bawah pokok.

"Pokok itu tumbang di laluan utama dan ketika itu difahamkan kereta sedang berhenti kerana lampu isyarat merah," ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, pokok tumbang itu menyebabkan seorang lelaki tempatan meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!