Tolak keganasan, rapatkan saf pertahankan Islam - Sultan Pahang

Iklan
Al-Sultan Abdullah beramah mesra bersama sebahagian peserta dari luar negara sempena Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kontemporari dalam Dunia Islam (ICCEIW) pada Selasa.

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayauddin Al Mustafa Billah Shah mengingatkan umat Islam agar tidak menyokong sebarang bentuk keganasan yang berlaku sebaliknya terus bersuara menyuarakan pandangan, prinsip dan perjuangan bantah keganasan berlebihan.

Baginda bertitah, sebarang bentuk keganasan termasuk dilakukan orang Islam sendiri perlu ditolak begitu juga yang berlaku di Palestin.

Iklan
Iklan

"Kita tidak boleh sokong, harus bersuara menyuarakan pandangan, prinsip dan perjuangan bantah keganasan berlebihan ini.

"Perjuangan kumpulan-kumpulan seperti ISIS dan Daesh yang lebih kepada kekerasan suatu ketika dahulu telah merosakkan imej Islam di mata penganut agama lain selain menakutkan mereka serta umat Islam sendiri," titah baginda.

Iklan

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam titah ucapan sempena Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kontemporari dalam Dunia Islam (ICCEIW) di sini pada Selasa.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayauddin Al Mustafa Billah Shah.

Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Ismail dan Rektor Universiti Al-Azhar, Prof Dr Salamah Daud.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar masyarakat Islam di seluruh dunia perlu merapatkan saf dalam mempertahankan Islam.

Negara-negara Islam perlu bersatu untuk mempertahankan Islam daripada terus ditekan.

"Dalam suasana yang mana Islam sentiasa terasa tertekan di seluruh dunia, kita semua harus mempunyai iltizam dan hasrat untuk merapatkan saf atau gandingan kita sebagai umat Islam.

"Walaupun negara Malaysia mempunyai satu populasi rakyat Islam yang begitu kecil jika dibandingkan dengan negara-negara Islam lain, namun kita tidak harus berada dalam satu persimpangan jalan yang boleh memecahbelahkan," titah baginda lagi.

Baginda bertitah, hasrat perjuangan untuk menegakkan syariat Islam perlu kepada satu hati, satu jiwa, satu buah fikiran dan cara melaksanakannya.

Baginda turut tegaskan, antara perkara yang boleh memberi tekanan kepada umat Islam seluruh dunia adalah Islamfobia yang mana telah memberi satu pesepsi yang cukup tidak benar.

"Persidangan ICCEIW ini antara usaha bagi mendapatkan rujukan dan panduan untuk bangkit memperjuangkan Islam dengan cara sebenar," titah baginda lagi.

Persidangan ICCEIW yang disertai 300 peserta dari 22 negara bermula Ahad lalu melabuhkan tirainya pada Selasa.

Persidangan itu dianjurkan bertujuan menyediakan satu dimensi baharu perbincangan ilmu dalam bidang ilmu terutama bidang pendidikan dengan pelbagai tema bersifat holistik dan integratif.

Pelbagai perkara dibincangkan dalam persidangan itu dengan harapan ia memberi kesan positif kepada usaha pembangunan Islam dan akademik ummah.

Persidangan itu julung kali diadakan Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!